Selasa, 11 September 2018 | 8:19pm
KAREL Jarolim

Republik Czech pecat Jarolim

PRAGUE: Persatuan Bolasepak Republik Czech (FACR) hari ini memecat jurulatih kebangsaan, Karel Jarolim susulan kekalahan memalukan 1-5 kepada Russia, semalam.

“Karel Jarolim meletak jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan Republik Czech selepas mencapai persetujuan bersama,” kata FACR dalam laman Twitter.

“Dalam tempoh beberapa hari lagi, FACR akan menemui calon-calon yang akan berkemungkinan menggantikannya. Terima kasih jurulatih.”

Jarolim, 62, yang dilantik jurulatih pada 2016 gagal untuk membimbing skuad kendaliannya ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia.

Permulaan musim ini juga tidak begitu menjadi buat Republik Czech apabila mereka tewas 1-2 kepada Ukraine di gelanggang sendiri bagi kempen pembukaan Liga Negara-Negara Eropah, minggu lalu.

Mereka kemudian mengalami kekalahan memalukan sejak mencapai kemerdekaan pada 1993 apabila tewas kepada Russia dalam aksi persahabatan di Rostov, semalam.

“Saya rasa cukup teruk, saya fikir saya layak untuk menerima hukuman di khalayak, ia salah saya,” kata Jarolim di Russia sambil mengakui pasukannya mungkin memerlukan ‘rangsangan.’

Media Czech berkata bekas jurulatih kelab Slavia Prague,  Jaroslav Silhavy dan jurulatih skuad bawah 21 tahun, Vitezslav Lavicka menjadi antara calon menggantikan Jarolim. - AFP

Berita Harian X