Khamis, 6 September 2018 | 10:03am
JOE Gomez

Gomez adalah pemain bintang - Henderson

LIVERPOOL: Kapten Liverpool, Jordan Henderson meluahkan rasa kagumnya kepada rakan sepasukannya, Joe Gomez yang disifatkan sebagai pemain muda berbakat besar serta mempunyai sikap cukup bagus untuk mengembangkan karier bersama kelab serta skuad kebangsaan England.

Gomez beraksi dalam semua empat perlawanan untuk Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan untuk Liga Negara-Negara pada Sabtu ini menentang Sepanyol dan aksi antarabangsa berdepan Switzerland, Selasa depan.

“Saya cukup teruja untuk Gomez kerana saya tahu betapa bagusnya dia dan dia memiliki mentaliti yang cukup positif,” kata Henderson.

“Dia sangat matang pada usia muda. Dia cukup cemerlang di padang dan dia mampu menjadi lebih bagus seperti yang dimahukan,”


Jordan Henderson

Henderson berkata, Gomez, yang bergelut dengan kecederaan sejak membuat penampilan pada musim 2015 banyak mempelajari cara untuk meningkat dan matang di bawah kendalian pengurus, Juergen Klopp di Liverpool.

“Dia masih muda. Masih banyak yang boleh diperbaiki, masih belajar dan tiada tempat lain untuk mendapatkan semua itu berbanding di Liverpool - bersama rakan sepasukan serta pengurus yang begitu bersemangat membangunkan pasukan,”

Dalam perkembangan lain, pemain tengah Liverpool, Adam Lallana mengesahkan dia mampu untuk kembali menjalani latihan dan bersedia untuk diturunkan, selepas ujian imbasan mendapati dia hanya berdepan kecederaan kecil di pangkal paha ketika tugasan antarabangsa bersama England.

Pemain bersusia 30 tahun itu dipanggil menyertai skuad England untuk perlawanan menentang Sepanyol dan Switzerland tetapi gagal menamatkan sesi latihan pertama di St George Park akibat kecederaan.

Lallana kembali ke Liverpool untuk pemeriksaan lanjut dan kelab mengesahkan dia mampu untuk kembali pada penghujung bulan ini ketika mereka berdepan aksi Liga Juara-Juara dan Piala Liga dan kembali meneruskan aksi Liga Perdana. - Agensi

Berita Harian X