Rabu, 5 September 2018 | 11:24pm
DAVID Beckham mendedahkan kelab Liga Bolasepak Major (MLS) miliknya diberi nama Kelab Bolasepak Antarabangsa Miami, atau Inter Miami. -Foto Reuters

Inter Miami francais milik Beckham

LONDON: Bekas kapten England, David Beckham mendedahkan kelab Liga Bolasepak Major (MLS) miliknya diberi nama Kelab Bolasepak Antarabangsa Miami, atau Inter Miami.

Kelab itu turut melancarkan logo, yang berbentuk bulat dan mempunyai gambar dua burung heron yang melambangkan nilai “antarabangsa, pelbagai, inklusif, kreatif dan bercita-cita tinggi’ hari ini.

Beckham diberikan francais MLS di Miami pada Januari lalu selepas membuat pengumuman rancangannya untuk menubuhkan sebuah pasukan buat pertama kali di bandar Selatan Florida itu, empat tahun lalu.

“Ini adalah hari yang amat membanggakan untuk saya dan juga keseluruhan pasukan. Satu kebanggaan untuk mengumumkan nama baharu dan juga logo untuk peminat kami,” kata Beckham yang menjadi pemilik merangkap presiden operasi bola sepak kelab itu dalam satu kenyataan.

“Kami mengambil satu lagi langkah penting dalam penubuhan kelab kami dan hari ini menandakan tempoh yang penting dalam sejarah Kelab Bolasepak Antarabangsa Miami.”

Inter Miami dijadual untuk bermain pada 2020 di venue sementara sehingga stadium mereka yang memiliki kapasiti 25,000 tempat duduk dan diberi nama "Miami Freedom Park" lengkap setahun selepas itu. - REUTERS

Berita Harian X