Selasa, 4 September 2018 | 7:15am
GAMBAR fail, kapten Liverpool Jordan Henderson memakai balutan lengan, masuk menjadi pemain gantian sewaktu menentang West Ham United pada Liga Perdana Inggeris. - Foto Reuters

Henderson tandatangani kontrak baharu dengan Liverpool

LONDON: Kapten Liverpool, Jordan Henderson menandatangani kontrak jangka panjang dengan kelab pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, awal pagi tadi.

Henderson adalah antara tonggak utama kelab di bawah kendalian boss The Reds, Jurgen Klopp dan kontrak baharu itu dianggap sebagai ganjaran kepada pemain tengah England ini untuk mendapatkan prestasi terbaik.

Pemain berusia 28 tahun ini membuat 283 penampilan untuk Liverpool, meledak 24 jaringan sejak tiba dari Sunderland pada 2011.

Dia juga mengambil alih tugas kapten Steven Gerrard pada 2015 dan mengetuai pasukan mara ke pentas final Liga Juara-Juara musim lalu.

“Rasanya seperti saya baru saja menandatangani kontrak buat pertama kali, ia seperti semalam - tetapi banyak yang berlaku sepanjang tempoh berkenaan,” kata Henderson kepada laman web rasmi Liverpool.

“Sentiasa ada peningkatan sepanjang detik saya berada di sini dan saya sangat menggemarinya.

“Tiada tempat lain di dunia ini untuk saya bermain bola sepak. Saya mahu berada di sini selagi saya mampu. Saya rasa terlalu istimewa untuk menjadi sebahagian daripada kelab sejak sekian lama, dan berharap ia akan menjadi lebih lama,” - AFP

Berita Harian X