Isnin, 3 September 2018 | 11:53am
KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh. - Foto Owee Ah Chun

Terima kasih Sabah

KUANTAN: Skuad Pahang perlu berterima kasih kepada Sabah kerana menewaskan PKNP FC 2-0 dalam aksi Kumpulan D, saingan Piala Malaysia di Stadium Batu Kawan, malam tadi. 

Ini kerana skuad Tok Gajah tidak perlu menunggu sehingga ke perlawanan terakhir Kumpulan D bertemu Sabah pada 16 September ini, untuk pengesahan slot suku akhir piala berprestij itu. 

Namun, skuad kendalian Dollah Salleh itu hanya layak selepas berada di kedudukan kedua kumpulan, kerana Sabah mengutip 13 mata daripada lima mata berbanding Pahang yang meraih lapan mata.

Biarpun masih berbaki satu perlawanan, Pahang tidak akan mampu mengatasi kutipan mata Sabah dan terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua. 

Mengulas kemaraan Pahang ke suku akhir, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu skuad itu mempertingkatkan corak permainan jika mahu melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu. 

"Saya gembira kerana Pahang tidak perlu menunggu perlawanan terakhir kumpulan untuk mengesahkan slot suku akhir selepas Sabah menewaskan PKNP malam tadi. 

"Tetapi pemain tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian itu memandangkan prestasi tidak konsisten yang dipersembahkan selepas tewas 1-3 kepada Selangor, kelmarin," katanya. 

Bagi memanfaatkan tempoh rehat dua minggu susulan skuad negara menghadapi dua aksi persahabatan berdepan Taiwan dan Kemboja, 7 dan 10 September ini, beliau berkata, skuad Tok Gajah akan mengadakan aksi persahabatan. 

Katanya, aksi persabahatan itu penting untuk memastikan skuad Pahang berada pada prestasi terbaik sebaik saingan Piala Malaysia bersambung. 

"Setakat ini, kami masih lagi belum dapat mengesahkan pasukan yang akan diuji dan mengharapkan aksi persahabatan ini membantu meningkatkan prestasi pasukan," katanya.

Berita Harian X