Isnin, 3 September 2018 | 1:43am
Unai Emery (kanan) bersalaman dengan pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil sebaik perlawanan tamat di Stadium Cardiff, sebentar tadi. - Foto Reuters

Emery kagum semangat Arsenal

CARDIFF: Unai Emery memuji karektor Arsenal yang menunjukkan sekilas potensi sebenar mereka ketika meraih kemenangan sukar 3-2 ke atas Cardiff, semalam.

Keputusan pengurus Sepanyol itu menggandingkan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang di bahagian serangan buat pertama kali dalam kempen Liga Perdana membuahkan hasil dengan kedua-duanya meledak gol.

Ia adalah kemenangan kedua diraih Emery tetapi skuad kendaliannya terpaksa bekerja keras menentang kelab yang baharu dinaikkan pangkat itu dengan kerapuhan jentera pertahanan menyaksikan Cardiff bangkit menyamakan kedudukan.

Tetapi bekas jurulatih Paris Saint-Germain dan Sevilla itu kagum dengan tindak balas cara pasukannya setiap kali tuan rumah menyamakan kedudukan.

“Reaksi amat penting. Reaksinya amat bagus. Kami semua tenang,” kata Emery. “Perkara paling penting adalah untuk bertenang dan terus berusaha. Kami mengawal 70 peratus permainan sepanjang 90 minit perlawanan.”

Selepas mengambil alih jawatan daripada Arsene Wenger, Emery mewarisi kedua-duanya kekuatan dan kelemahan yang ditinggalkan pengurus veteran Perancis itu.

Begitupun, keputusannya untuk membariskan kedua-dua penyerang Aubameyang dan Lacazette membuahkan hasil dengan kedua-duanya meledak gol untuk membunuh semangat Cardiff.

Tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Victor Camarasa selepas Shkodran Mustafi membuka tirai jaringan dan sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi gol Danny Ward selepas jaringan Aubameyang.

“Mereka berganti-ganti dalam perlawanan sebelum ini dan hari ini, mereka berada dalam kesebelasan utama bersama-sama,” kata Emery. 

“Kami akan terus berusaha menggabungkan kombinasi. Hari ini saya fikir kedua-dua pemain menjaringkan gol dan membantu kami. Kami boleh meneruskan untuk mencari prestasi terbaik bagi kedua-dua permainan.” - AFP 

29 dibaca
Berita Harian X