Ahad, 2 September 2018 | 12:43am
PENJAGA gol Liverpool, Alisson tergamam selepas melakukan kesilapan membolehkan Leicester merapatkan jurang gol pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power, sebentar tadi. - Foto Reuters

Amaran Klopp buat Alisson

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sudah menjangka kesilapan daripada penjaga gawang, Alisson Becker, namun berharap bintang Brazil itu dan pemain lain mendapat pengajaran ketika meraih kemenangan 2-1 di Leicester, hari ini.

Anak buah Klopp berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dengan rekod sempurna empat kemenangan dalam empat perlawanan hasil jaringan separuh masa pertama daripada Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Bagaimanapun, pelawat memberikan Leicester harapan apabila Kelechi Iheanacho merampas bola daripada Alisson sebelum hantarannya disudahkan Rachid Ghezzal untuk memecahkan gawang Liverpool buat kali pertama musim ini.

Klopp sudah memberi amaran selepas kemenangan 1-0 ke atas Brighton minggu lalu yang beliau tidak gembira dengan beberapa risiko diambil Alisson apabila cuba bermain bersama bahagian pertahanan.

“Kami semua perlu belajar daripada kesilapan, bukan saja dia (Alisson). Ia jelas sejak minggu lalu apabila saya jangka perkara itu akan berlaku.

“Saya tidak fikir ia akan berlaku lagi untuk perlawanan seterusnya,” kata Klopp. “Dia pasti tahu ia adalah kesilapannya, dia perlu menerimanya.

“Kami tidak perlu menghantar semua bola kembali ke Alisson, tetapi dia menunjukkan ketenangan ketika penonton cuba membuatnya gugup.” - AFP

60 dibaca
Berita Harian X