Jumaat, 31 Ogos 2018 | 8:54am
PEMAIN Juventus, Cristiano Ronaldo. - Foto Reuters

Ronaldo 'kembali' ke Old Trafford

MONACO: Cristiano Ronaldo kini boleh berharap untuk kembali ke Old Trafford dalam aksi Liga Juara-Juara musim ini selepas pasukan barunya, Juventus diundi bersama Manchester United dalam Kumpulan H, semalam.

Ronaldo bagaimanapun tidak berada di Monaco ketika undian itu biarpun dicalonkan menerima anugerah individu, menghabiskan masa selepas enam tahun di United, memenangi gelaran Liga Juara-Juara pada 2008 sebelum berpindah ke Real Madrid pada 2009.

Dia akan menentang bekas jurulatihnya Jose Mourinho yang pernah mengendalikan Real sementara pemain tengah United Paul Pogba turut berharap dapat berdepan dengan bekas pasukannya itu.

United akan melayan kunjungan Juventus pada 23 Oktober sebelum aksi kedua di Turin pada 7 November.

Biarpun kedua-dua pasukan itu akan menjadi pilihan untuk mara ke saingan 16 terbaik dari Kumpulan H, mereka perlu berhati-hati dengan saingan Valencia yang kembali memberi saingan untuk kali pertama selepas tiga tahun.

Juara Switzerland, Young Boys akan membuat penampilan pertama dilihat akan menjadi tumpuan akan bertemu United pada perlawanan pembukaan 19 September ini.

“Ia satu kumpulan yang boleh diuruskan tapi semua terpulang kepada kami. Nasib kami berada dalam tangan kami sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Juve, Giuseppe Marotta sejurus undian.

Pada sesi undian yang berlangsung di Grimaldi Forum Monaco, semalam, kumpulan C turut menarik perhatian apabila ia membariskan finalis tahun lalu Liverpool, Paris Saint-Germain (PSG), Napoli dan Red Star Belgrade.

Pertemuan antara Liverpool dan PSG menjadi klimaks apabila mempertemukan semula dua pengendali dari Jerman, Jurgen Klopp dan penggantinya di Borussia Dortmund, Thomas Tuchel.

“Saya menjangkakan ia satu kumpulan yang sukar dan itulah sebenarnya cabaran Liga Juara-Juara,” kata Klopp yang akan menerima kunjungan PSG pada perlawanan pertama 18 September ini.

Carlo Ancelotti yang menjadi pengendali Napoli akan kembali ke ibu negara Perancis yang menyaksikan dia mengetuai PSG ketika mereka memenangi gelaran pada 2013. – AFP

64 dibaca
Berita Harian X