Selasa, 28 Ogos 2018 | 5:57pm
TAN Cheng Hoe pada sidang media Pra perlawanan Antarabangsa A Malaysia menentang Bhutan di Wisma FAM. - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Sumareh tiada dalam senarai Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh tiada dalam senarai 24 pemain bagi mengharungi dua aksi persahabatan – menentang Taiwan dan Kemboja - bulan depan.

Biarpun melakukan lapan pertukaran daripada senarai pemain ketika aksi berdepan Fiji pada 5 Julai lalu, nama Sumareh tidak kelihatan dalam senarai diumumkan jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe, hari ini.

Antara lapan pemain yang baharu dipanggil Cheng Hoe termasuk tiga tonggak skuad bawah 23 (B-23) yang baru selesai tugasan di Sukan Asia – Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syahmi Safari.

Penyerang yang kini beraksi di Liga Thailand, Shahrel Fikri Fauzi turut menyertai senarai pemain baharu itu bersama Fazly Mazlan, Norshahrul Idlan Talaha, Faizal Marlias dan Mahali Jasuli.

Lapan pemain itu akan mengisi kekosongan - Ifwat Akmal Chek Kassim, Syawal Nordin, Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj, Danial Ashraf Abdullah, Shafiq Shaharudin, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Syahrul Azwari Ibrahim - yang tidak tersenarai kali ini.

Cheng Hoe ketika dihubungi menyatakan keyakinan gandingan pemain muda dan senior mampu memperkuatkan skuad Harimau Malaya untuk aksi persahabatan ketika berdepan Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September depan.

"Persembahan baik skuad B-23 di Sukan Asia termasuk berjaya menewaskan Korea Selatan menunjukkan petanda positif buat pasukan Harimau Malaya," kata Cheng Hoe.

"Jadi, dengan kehadiran beberapa pemain muda untuk digandingkan bersama senior saya yakin mereka mampu membentuk skuad Harimau Malaya yang lebih mantap."

Selain Akhyar, Nik Akif dan Syahmi, enam lagi pemain skuad Sukan Asia iaitu Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik Ishak turut tersenarai dalam barisan pemain yang perlu melaporkan diri ke kem latihan pusat bermula Isnin ini.

Selain berdepan Taiwan dan Kemboja, Harimau Malaya juga akan mengharungi tiga aksi persahabatan berdepan Sri Lanka, Kyrgyzstan dan Maldives pada Oktober dan November nanti.

Semua aksi persahabatan itu diadakan sebagai persiapan Harimau Malaya menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 yang akan berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Berita Harian X