Selasa, 28 Ogos 2018 | 5:55pm
DATUK Hamidin Mohd Amin (tiga dari kiri) bersama Philip Smith (dua dari kiri) ketika merasmikan Eat Right to Play Right di Wisma FAM, hari ini. - Foto SUPIAN AHMAD

Kalah bidaan, Hamidin mahu skuad B-23 bersedia awal

PETALING JAYA: Peluang Malaysia untuk layak secara automatik pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) 2020 tertutup selepas bidaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan kejohanan itu tidak berjaya.

Thailand dipilih oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai tuan rumah apabila mengatasi bidaan Malaysia dan Indonesia.

Ini menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu mengharungi pusingan kelayakan pada Mac tahun depan untuk mara ke pusingan akhir itu yang bakal berlangsung Januari 2020 dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Menurut Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, tiada alasan untuk skuad muda negara gagal melepasi kelayakan itu andai persiapan rapi dilakukan bermula sekarang.

"Kita baru tahu hari ini AFC membuat keputusan untuk memilih Thailand sebagai tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC B-23. Kita kalah bidaan dan saya sudah maklumkan kepada Datuk Ong Kim Swee supaya memberikan laporan Sukan Asia baru-baru ini untuk kita membuat persiapan.

"Kita tahu sebahagian besar pemain seperti Akhyar (Rashid), Safawi (Rasid) dan Haziq (Nadzli) masih boleh bermain untuk kelayakan AFC pada tahun depan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program "Eat Right to Play Right" anjuran Zurich Malaysia, hari ini.

Pada pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu, anak buah Kim Swee melakar sejarah mara ke suku akhir buat kali pertama.

Bagaimanapun pada pusingan kelayakan di Bangkok Jun 2017, Kim Swee berdepan masalah apabila enam pemain utama tidak mendapat pelepasan pasukan dan perkara hampir sama berulang ketika di Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Hamidin berkata, beliau akan berjumpa dengan semua presiden persatuan negeri dan kelab untuk mendapatkan maklum balas mengenai hal pelepasan pemain.

"Jurulatih dan FAM kena bijak susun perancangan. Saya akan berjumpa dengan semua presiden negeri dan kelab pada November untuk mendapatkan maklum balas. Kita akan kaji dari segi peraturan apabila mereka menjadi ahli gabungan, mereka perlu mematuhi (arahan). 

"Tapi saya juga prihatin terhadap kepentingan mereka yang memerlukan pemain ini. Mereka yang melahirkan pemain skuad kebangsaan jadi mesti ada situasi menang-menang," jelasnya.

Berita Harian X