Selasa, 28 Ogos 2018 | 5:07pm
DATUK Hamidin Mohd Amin - Foto BERNAMA

Hamidin janji bariskan skuad terkuat ke Piala AFF

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan akan menghantar skuad terkuat bagi mengharungi Piala AFF bermula November ini meskipun pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh masih tiada dalam senarai baru 24 pemain dipanggil jurulatih Tan Cheng Hoe.

Dua puluh empat pemain itu akan menjalani latihan bermula 3 September bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Taiwan di Taipei City pada 7 September dan Kemboja di Phnom Penh (10 September) sebagai persiapan ke Piala AFF.

Daripada senarai itu, 16 pemain daripada skuad ketika menewaskan Fiji 1-0 di Cheras pada 5 Julai lalu dikekalkan dengan muka baru dipanggil termasuk Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Farizal Marlias (Johor Darul Ta'zim), Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima), Akhyar Rashid (Kedah) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan).

Turut mendapat tempat, sembilan pemain daripada skuad bawah 23 tahun (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee yang beraksi sehingga ke pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

Bagaimanapun nama pemain kelahiran Gambia yang sudah mendapat taraf kerakyatan negara ini, Sumareh masih tidak kelihatan meskipun FAM sebelum ini bercadang membuka pintu kepada pemain naturalisasi menyarung jersi kebangsaan.

"Kena faham, ada perkara yang perlu melalui proses, tunggu bila sampai masanya, insya-Allah pada Piala AFF nanti, kita akan bawa barisan terkuat," kata Hamidin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program "Eat Right to Play Right" anjuran Zurich Malaysia, hari ini.

Hamidin yang juga pengurus pasukan Harimau Malaya berkata, Cheng Hoe sudah mempunyai bayangan skuad terbaik dan beliau kini dalam proses untuk menilai pemain yang tidak bersama pasukan sebelum ini.

"Ada beberapa pemain yang kita tinggalkan kerana sudah memanggil mereka sebelum ini, selain ada pemain masih beraksi dalam saingan Piala Malaysia. Jurulatih Tan Cheng Hoe memang sudah ada barisan pemainnya, cuma kita akan umumkan senarai 23 pemain Piala AFF itu selepas bertemu Maldives," katanya.

Selepas Taiwan dan Kemboja, Harimau Malaya akan 'mengasah taring' mereka dalam aksi persahabatan dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil (3 November).

Pada kempen Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

89 dibaca
Berita Harian X