Isnin, 27 Ogos 2018 | 6:20pm
MOURINHO. - Foto AFP

Mourinho beri inspirasi

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur,  Mauricio Pochettino berkata, Jose Mourinho tetap memberikan inspirasi di sebalik kekecewaan yang dialami pengendali Manchester United itu menjelang pertemuan dengan Tottenham pada saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi esok.

 United dilihat bergelut pada musim baru dengan Mourinho tidak sependapat dengan naib presiden kelab, Ed Woodward serta Paul Pogba.

 Mourinho pastinya terdesak untuk meletakkan United di landasan tepat selepas tewas 2-3 kepada Brighton tetapi perlawanan itu juga penting untuk Spurs yang mempunyai rekod buruk apabila bertemu United sejak di bawah bimbingan Pochettino.

 Bagaimanpun, Pochettino. tetap menghormati rakan setugasnya itu yang sudah berjaya memenangi banyak trofi kejuaraan sepanjang karier sebagai pengurus.

 Ditanya apakah yang dipelajari daripada Mourinho, Pochettino berkata: "Banyak perkara yang baik. Saya rasa bagi pengurus yang lebih muda daripadanya, beliau sentiasa memberikan inspirasi.

 "Sudah tentu beliau seorang pengurus yang amat menakjubkan. Setiap pengurus akan melalui turun dan naik dalam kariernya."

 Pochettino menyifatkan musim ini sangat mencabar kerana beliau hanya dapat mengumpulkan pemain selama tiga minggu selepas tugasan Piala Dunia.

 "Kebiasaannya anda memerlukan enam atau tujuh minggu untuk melakukan persiapan menghadapi musim baru.

 "Saya akan melakukan beberapa pertukaran serta mungkin formasi yang berbeza juga," katanya. - AFP

Berita Harian X