Ahad, 26 Ogos 2018 | 11:31pm
PEMAIN MIFA, L’imam Seydi (kanan) diasak pemain Kedah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PEMAIN MIFA, L’Imam Seydi (kiri) meraikan gol pertama ketika menentang Kedah dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kedah lepas peluang keemasan

 

KUALA LUMPUR: Kedah melepaskan peluang keemasan untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan C apabila terikat 2-2 dengan MIFA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Lebih mengecewakan, skuad Helang Merah gagal menggunakan kesempatan sepanjang babak kedua ketika MIFA hanya beraksi  dengan 10 pemain.

Keputusan itu menyaksikan MIFA mengumpul tujuh mata untuk memimpin kumpulan, sementara Kedah di tangga ketiga dengan lima mata.

MIFA memperoleh peluang terbaik untuk berada di depan menerusi Seydi L'Iman pada minit ke-10, namun percubaannya dinafikan penjaga gol, Abdul Hadi Hamid.

Kedah bagaimanapun terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan apabila sepakan percuma menarik Sandro Da Silva gagal diselamatkan penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad pada minit ke-31.

Malang menimpa MIFA pada masa kecederaan babak pertama apabila Kpah Sherman dilayangkan kad merah selepas mengasari tonggak import Kedah, Liridon Krasniqi.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain, MIFA berjaya bangkit menyamakan kedudukan apabila L'Iman menanduk masuk bola sepakan penjuru Beomgeun Bae enam minit selepas bersambung babak kedua.

Namun, kedudukan itu hanya bertahan empat minit apabila Kedah kembali berada di depan hasil jaringan Halim Saari yang menyudahkan hantaran Liridon.

Jaringan itu dilihat tidak mematahkan semangat MIFA untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-81 apabila Barathkumar Ramaloo menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Bae dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat. 

Berita Harian X