Ahad, 26 Ogos 2018 | 12:47pm
PEMAIN PKNP FC, Fandi diasak pemain Pahang, Mohamad Muslim Ahmad dalam saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Penyudah tumpul sekat impian Tok Gajah

KUANTAN: Ketumpulan jentera serangan menyebabkan skuad Pahang gagal mengutip tiga mata apabila terikat tanpa jaringan dengan PKNP FC dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia, malam tadi.

Ia diakui pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang kecewa skuadnya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri sekali gus menyekat misi awal menempah slot ke suku akhir piala berprestij itu.

“Dalam tiga perlawanan, kita boleh lihat bahawa sukar buat pasukan untuk mencatat kemenangan dengan jaringan melebihi dua gol setakat ini.

“Jika dilihat kepada rekod perlawanan di tempat sendiri, kita mampu menjaringkan lebih daripada dua gol tetapi segala-galanya berubah disebabkan penyudah tumpul.

“Ketiadaan Patrick Cruz amat dirasai dan saya berharap dia cepat pulih daripada kecederaan untuk beraksi dalam baki dua perlawanan bertemu Selangor dan Sabah nanti,” katanya.

Mengulas keputusan seri dengan PKNP, Dollah berkata, secara keseluruhannya anak buahnya beraksi dengan baik terutama di bahagian pertahanan.

Katanya, semuanya berjalan mengikut perancangan namun kegagalan jentera serangan untuk memanfaatkan peluang menyebabkan mereka terlepas tiga mata.

Berita Harian X