Sabtu, 25 Ogos 2018 | 11:16pm
PENYERANG JDT, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) diasak pemain Kelantan, Cassio Francisco De Jesus (kanan) pada saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT tewaskan Kelantan

JOHOR BAHRU: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum menang 1-0 ke atas Kelantan pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan itu menebus kehampaan JDT yang sebelum ini tewas 0-1 kepada The Red Warriors (TRW) 17 Ogos lalu dan sekali gus menghidupkan semula perjuangan skuad yang bergelar Harimau Selatan bagi memburu slot ke pusingan kalah mati.

Walaupun JDT menguasai perlawanan sebaik wisel dibunyikan pengadil namun gagal memecah kebuntuan sepanjang 15 minit sambil anak didik Yusri Che Lah bijak membaca gerakan dan pantas menghalang setiap asakan yang dilakukan skuad kendalian Benjamin Mora.

Bagi TRW yang turun serba kekurangan tanpa beberapa pemain tonggak utama dan hanya mempertaruhkan tiga pemain Piala Presiden, tampak masih mampu menyaingi kehebatan skuad Harimau Selatan dan sentiasa bekerja keras mematikan langkah barisan serangan tuan rumah yang diterajui Fernando Marquez.

Peluang terbaik tuan rumah untuk merungkai jaringan jelas mengecewakan selepas bola sepakan percuma Gonzalo Cabrera pada minit ke-31 sekadar sipi di sudut kanan gol walaupun penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin sudah tertewas.

Ternyata disiplin tinggi dipamerkan TRW berjaya menghalang tuan rumah daripada mencipta jaringan sepanjang babak pertama sehingga tamat babak pertama dan ia bagaikan kemenangan moral buat pelawat yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah yang tercari-cari gol pertama meneruskan penguasaan dengan mengatur serangan ke kubu pelawat namun percubaan Cabrera yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti berjaya dihalang Faridzuean.

Tuan rumah terpaksa menanti sehingga minit ke-65 untuk mencipta gol selepas bola umpanan Cabrera disambut Marquez yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum merembat bola leret ke sudut kanan gawang pelawat untuk gol tunggal perlawanan.

12 dibaca
Berita Harian X