Sabtu, 25 Ogos 2018 | 5:43pm
ONG Kim Swee ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Sairien Nafis

Kim Swee sokong Pestabola Merdeka dianjurkan semula

 

SEPANG: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menyokong penuh sekiranya Pestabola Merdeka kembali dianjurkan.

Selain memiliki keunikan tersendiri, Kim Swee turut menganggap kejohanan yang kali terakhir dianjurkan lima tahun lalu itu turut menjadi antara piala yang berprestij.

“Jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menganjurkan semula, sudah tentu mereka perlu lihat sama ada ia sesuai kepada skuad B-23 atau pasukan senior.

“Sudah tentu saya menyokong jika Pestabola Merdeka dianjurkan semula di mana ia satu piala yang berprestij dan unik terutama di Asia.

“Malah, jika kita pergi ke Jepun dan Korea Selatan, mereka masih lagi bercakap mengenai Pestabola Merdeka kerana kejohanan itu yang mereka tahu mengenai Malaysia,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Pestabola Merdeka yang dianjurkan sejak 1957 berlangsung sempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Sepanjang penganjurannya, Malaysia muncul pasukan terbanyak merangkul trofi berkenaan dengan 12 kali termasuk dua daripadanya disumbangkan skuad B-23.

Kejohanan itu mula dibuka untuk skuad B-23 pada 2007 yang menyaksikan Malaysia muncul juara terakhir pada 2013 selepas menundukkan Myanmar 2-0 di pentas final.

Berita Harian X