Sabtu, 25 Ogos 2018 | 5:08pm
ONG Kim Swee ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Sairien Nafis

Kim Swee alih tumpuan ke Kejohanan AFC

SEPANG: Selepas terkandas pada pusingan kedua Sukan Asia Jakarta Palembang, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kini mengalihkan tumpuan kepada kelayakan Kejohanan AFC 2020 pada Mac depan.

Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun menegaskan perancangan awal perlu dilakukan dalam usaha membentuk skuad mantap untuk mengharungi kempen kelayakan itu.

Malah, beliau mengakui sudah mengadakan perbincangan bersama pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai program untuk memantapkan lagi skuad B-23.

“Kami perlu lakukan perancangan awal yang lebih rapi dan memperbanyakkan aksi persahabatan terutama di luar negara. Tahun ini saja kami beraksi lapan perlawanan bermutu tinggi termasuk pada Kejohanan AFC di China.

“Saya juga mempunyai lebih kurang 10 pemain seperti Syamer Kutty Abba dan Daniel Amier yang masih boleh bersama. Jadi majoriti pemain yang ada memberi impak berlainan dan menjadikan pasukan lebih kuat.

“Saya sentiasa yakin dengan pemain sedia ada dan bagi kelayakan Kejohanan AFC tahun depan, saya percaya kami mampu layak dan pada masa sama membuka harapan ke Sukan Olimpik 2020,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekembalinya dari Jakarta hari ini.

Anak buah Kim Swee terkandas pada pusingan kedua acara bola sepak Sukan Asia selepas tewas 0-1 kepada Jepun, malam tadi.

Biarpun kecewa, Kim Swee bagaimanapun tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya terutama berjaya mengejutkan juara bertahan Korea Selatan pada peringkat kumpulan.

“Kami kalah pada minit terakhir kepada Jepun, tapi itu hakikat yang perlu diterima dan saya percaya ketika ini jurang (dengan Jepun dan Korea) tidak begitu jauh,” jelas Kim Swee.

“Apa yang membanggakan bila kami berjaya mengalahkan Korea Selatan yang menyenaraikan pemain Piala Dunia mereka. Kami sudah buktikan kami mampu bersaing, begitu juga ketika menentang Jepun.”

23 dibaca
Berita Harian X