Jumaat, 24 Ogos 2018 | 6:05pm
GEORGINIO Wijnaldum

Wijnaldum kawal naluri menyerang

LONDON: Georginio Wijnaldum sedang belajar mengawal naluri menyerang ketika beraksi di bahagian lebih bawah sekali gus memberi lebih kebebasan kepada rakan sepasukan lain di posisi itu.

Dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris musim ini, bintang dari Belanda itu ditugaskan membantu dan melindungi barisan pertahanan yang diketuai Virgil van Dijk.

"Tidak seperti kita lihat, ia pastinya lebih sukar kerana ada kalanya ketika berada atas padang, saya juga mahu berlari ke atas membantu jentera serangan dan menjaringkan gol," katanya menerusi laman web kelab.

"Tetapi apabila kamu beraksi di posisi itu, ia tidak boleh dilakukan secara kerap dan perlu seimbangkannya. Namun saya gembira untuk beraksi di posisi itu dan ia akan menjadi lebih baik."

Wijnaldum berjaya menarik perhatian ketika aksi pembukaan yang menyaksikan kemenangan 4-0 ke atas West Ham United dan kesungguhannya terserlah pada aksi menentang Crystal Palace.

Dalam masa sama, pemain 27 tahun itu menyambut baik persaingan antara pemain untuk merebut tempat ketika Liverpool turut memiliki Fabinho, Jordan Henderson, James Milner, Adam Lallana dan Naby Keita dalam merebut tiga slot di posisi tengah.

"Ya saya fikir mengenainya (persaingan) sejak dari awal musim kerana semua orang pastinya mahu beraksi. Semua orang berada dalam keadaan baik untuk merebut tempat dan saya fikir ia cukup bagus.

"Sesuatu yang bagus apabila pengurus mempercayai kamu dan ia perkara bagus jika dia (Jurgen Klopp) cuba bantu kamu jadi pemain yang lebih baik."

Liverpool akan meneruskan rentak kemenangan mereka musim ini ketika menerima kunjungan Brighton ke Anfield, tengah malam ini . - Reuters

13 dibaca
Berita Harian X