Khamis, 23 Ogos 2018 | 4:02pm
BENJAMIN Mora. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT tiada pilihan

JOHOR BAHRU: Perebutan slot ke suku akhir Piala Malaysia dalam saingan Kumpulan C semakin menarik apabila - MIFA, Kelantan, Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) - masing-masing memiliki peluang sama rata untuk mara ke pusingan kalah mati itu.

Justeru, JDT yang kini menghuni tangga terbawah kumpulan harus bangkit dan menebus kekalahan 0-1 kepada Kelantan pada aksi 17 Ogos lalu, apabila sekali lagi bertembung dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.

Walaupun pada awalnya tidak dilabel sebagai kumpulan ‘maut’, namun selepas kesemua pasukan menamatkan saingan pusingan pertama jelas keempat-empat pasukan berdepan tugas getir untuk menempatkan diri ke saingan suku akhir.

Bagi JDT yang dibimbing Luciano Figueroa dan Benjamin Mora, dua kekalahan yang dialami amat perit untuk ditelan dan mereka harus merencana strategi lebih ampuh bagi memburu kemenangan apabila berdepan skuad kendalian Yusri Che Lah.

Persoalannya, apakah JDT akan turun dengan formasi 4-3-3 atau mengubah formasi apabila berdepan skuad The Red Warriors (TRW) yang dijangka mengamalkan corak permainan `berkampung' di kawasan sendiri dan kemungkinan mempraktikkan formasi 5-4-1 kerana tidak dapat menurunkan pemain import, Cristanio Santos yang digantung satu perlawanan.

Apapun, skuad Harimau Selatan harus tampil lebih agresif bagi memburu kemenangan seandainya ingin menghidupkan peluang layak ke suku akhir sekali gus  mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu.

Justeru, kelibat penyerang import JDT, Fernando Marquez harus lebih agresif dan bijak mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol selepas persembahannya tampak kurang tajam.

Pastinya, kepakaran Figueroa dan Mora ditagih bagi membentuk kesebelasan mantap dengan fokus pada barisan serangan diterajui Marquez bersama Gonzalo Cabrera dan Hazwan Bakri untuk menggempur benteng pertahanan TRW.

Barisan tengah mungkin diteraju Nazmi Faiz Mansor, Natxo Insa dan Hariss Harun namun mereka perlu lebih kreatif menyerang memandangkan pergerakan ketiga-tiga pemain itu bakal dihalang barisan tengah TRW.

Pertahanan JDT dilihat akan mengekalkan gandingan Marcos Antonio, Fadhli Shas, Corbin Ong akan bergerak di posisi bek kiri manakala S Kunanlan menguatkan posisi bek kanan kerana kedua-dua pemain itu mampu membantu di sebelah sayap kiri dan kanan.

Apa juga perancangan dilakukan Figueroa dan Mora, misi utama adalah kemenangan dan jika tewas atau seri, usaha JDT untuk mempertahankan Piala Malaysia pasti berkubur.

69 dibaca
Berita Harian X