Khamis, 23 Ogos 2018 | 12:25pm
PENGENDALI Manchester United Jose Mourinho. - Foto Reuters

Ujian berat menanti skuad Mourinho

MANCHESTER, England: Pengendali Manchester United Jose Mourinho kini terdesak mendapatkan persembahan baik dan keputusan positif untuk menggembirakan penyokongnya apabila bertemu Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris Isnin ini.

Selepas jendela perpindahan yang mengecewakan buat Mourinho, kekalahan 3-2 di tangan Brighton Ahad lalu mula mencetus rasa tidak puas hati penyokong dan bekas pemain terhadap prestasi skuad.

United menewaskan Leicester City di Old Trafford pada perlawanan pembukaan musim ini tetapi Spurs adalah lawan yang jauh lebih sukar.

Di atas kertas United masih pasukan pilihan untuk menguasai pertemuan ini, di mana sepanjang era Liga Perdana Spurs hanya menang lapan kali ke atas United, berbanding 33 kemenangan diraih lawannya itu.

Dalam empat kunjungan ke Old Trafford sebelum ini, Spurs tewas kesemua perlawanan, tetapi skuad kendalian Mauricio Pochettino memulakan kempen baharu dengan kemenangan ke atas Newcastle United dan Fulham.

Walaupun tidak melakukan sebarang pembelian ketika jendela perpindahan lalu, Spurs berjaya mengekalkan barisan pemain handalnya termasuk jentera serangan dibarisi Harry Kane, Dele Alli dan Christian Eriksen. - REUTERS

 

Berita Harian X