Rabu, 22 Ogos 2018 | 3:22pm
RUFINO Segovia

Rufino yakin dapat sesuaikan diri

KUALA LUMPUR: Penggempur prolifik Selangor, Rufino Segovia tidak bimbang meskipun perlu bergandingan bersama rakan sepasukan baharu bagi skuad Pilihan Selangor pada aksi Piala Sultan Selangor 2018.

Penjaring terbanyak Liga Super itu adalah antara pemain Selangor yang ‘dipinjamkan’ kepada PKNS FC yang akan membawa cabaran Pilihan Selangor dalam misi untuk membenam Pilihan Singapura pada edisi kali ini.

“Saya teruja kerana ini kali pertama saya menyertai perlawanan sebegini. Saya tidak mengenali pemain daripada PKNS FC tetapi saya yakin dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama mereka.

“Saya dimaklumkan Pilihan Selangor tewas di tangan lawan tahun lalu, jadi situasi ini membakar semangat saya untuk membantu pasukan ini merampas semula trofi Piala Sultan Selangor.

“Saya lihat perlawanan ini turut memberi peluang kepada saya untuk menguji kemampuan saya berdepan lawan daripada pasukan luar khususnya apabila Pilihan Singapura membariskan pemain terbaik di negara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain penyerang kelahiran Sepanyol itu, penyerang veteran The Red Giants, Amri Yahyah turut memperkuat pasukan bimbingan Datuk K Rajagobal itu.

Piala Sultan Selangor edisi ke-17 bakal berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dengan pertembungan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura selain meneruskan pertandingan Piala Pilihan dan Veteran serta Piala Cabaran Sekolah-Sekolah yang diperkenal julung kalinya pada edisi lalu.

Pada edisi ke-16 yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura, Pilihan Singapura berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Selangor 3-2 menerusi jaringan Khairul Nizam, Shakir Hamzah dan Faris Ramli sementara gol Pilihan Selangor disumbangkan Safee Sali dan Gonzalo Soto.

Bagi kategori veteran, skuad Veteran Selangor dan Veteran Singapura dinobatkan sebagai juara bersama selepas terikat tanpa jaringan manakala bagi kategori Piala Cabaran Sekolah-Sekolah, Sekolah Sukan Singapura muncul juara selepas menewaskan Gabungan Sekolah Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Berita Harian X