Selasa, 21 Ogos 2018 | 10:49pm
DAVID Beckham - Foto Reuters

Beckham terima anugerah Presiden UEFA

PARIS: Bekas kapten England, David Beckham akan menerima anugerah Presiden UEFA 2018 sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya dalam bola sepak dan kerja yang dilakukan selepas bersara, umum badan induk Eropah itu, hari ini.

Bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid itu, yang kini berusia 43 tahun akan menerima anugerah berkenaan di Monaco.

“Saya memilih David Beckham sebagai penerima anugerah ini pada tahun ini kerana dia sudah menjadi duta antarabangsa bagi bola sepak, mempromosi sukan ini dan semua nilai-nilainya di setiap penjuru dunia,” kata Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin.

“Usaha tanpa mengenal erti penat terhadap kemanusiaan, yang membantu ramai kanak-kanak di seluruh dunia sepatutnya dihargai, Beckham adalah ikon bola sepak yang sebenar dalam generasinya.”

Beckham yang memenangi Liga Juara-Juara bersama United pada 1999 turut bermain bersama kelab Amerika Syarikat, Los Angeles Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain selepas meninggalkan Real.

Beliau menggantung but pada 2013 dan pada tahun ini dianugerahkan francais Liga Bolasepak Major (MLS) di Miami.

“Sepanjang karier saya, saya sentiasa memberikan 100 peratus dan cuba untuk menegakkan nilai kerja berpasukan dan juga permainan yang adil dan saya berbangga untuk menyertai senarai pemain yang sebelum ini memenangi anugerah ini,” kata Beckham yang turut terbabit dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Banyak saat-saat yang tidak boleh saya lupakan di atas padang hadir ketika Liga Juara-Juara seperti malam yang magis di Barcelona pada 1999 apabila kami menewaskan Bayern Munich dengan cara yang cukup dramatik.”

Anugerah Presiden UEFA pada tahun lalu diberikan kepada bekas penyerang Itali, Francesco Totti. - AFP

24 dibaca
Berita Harian X