Isnin, 20 Ogos 2018 | 1:35am

Akhirnya Watford menang di tempat lawan

BURNLEY: Watford menamatkan prestasi buruk mereka di tempat lawan dengan bergaya apabila menewaskan Burnley 3-1 di Burnley malam tadi. Jaringan awal babak kedua oleh kapten Troy Deeney dan Will Hughes membolehkan mereka meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal berturut-turut sekali gus yang pertama sejak era Liga Perdana.

Mereka gagal menang dalam 12 perlawanan terakhir di tempat lawan dan tidak menjaringkan sebarang gol sejak Januari lalu.

Hanya tiga minit diperlukan pelawat membuka tirai jaringan selepas bekas penyerang Burnley, Andre Gray merembat voli menarik selepas mendapat hantaran Deeney daripada sebelah kanan.

Tiga minit kemudian pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan selepas James Tarkowski menanduk masuk bola sepakan sudut Johann Berg Gudmundsson .

Burnley yang kini tidak menang dalam tujuh aksi liga gagal mengekang asakan pelawat apabila gawang mereka ditembusi dua kali pada awal babak kedua.

Pada minit ke-48, Deeney yang mendapat hantaran cantik Abdoulaye Doucoure berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan lawan dan tenang menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol Burnley Joe Hart.

Kesilapan pemain pertahanan, Matt Lowton memberikan bola kepada Hughes dimanfaatkan sepenuhnya pemain tengah Watford itu untuk gol kedua pelawat.

"Jumlah jaringan memang penting tetapi kualiti juga memainkan peranan. Hari ini dua penyerang kami, Troy Deeney dan Andre Gray menjaringkan gol dan ini sangat penting kepada mereka dan pasukan,” kata pengurus Watford dari Sepanyol, Javi Gracia.

"Hughes menjaringkan gol hebat, saya gembira dengan mereka.”

Sementara itu pengurus Burnley, Sean Dyche menerima kekalahan dengan hati terbuka.

“Kami menyerahkan perlawanan ini kepada lawan pada lima minit pertama babak kedua selepas mempamerkan prestasi yang baik di babak pertama,” kata Dyche. - Reuters

Berita Harian X