Khamis, 16 Ogos 2018 | 6:59pm
ANTOINE Griezmann meraikan kemenangan bersma pasukan. - Foto AFP

Grizzou akui keputusan kekal wajar

TALLINN: Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann menyatakan kemenangan 4-2 pasukannya ke atas Real Madrid untuk menjuarai Piala Super Eropah awal pagi tadi mewajarkan keputusannya menolak perpindahan ke Barcelona dan kekal bersama pasukan kendalian Diego Simeone.

Penyerang Perancis itu hampir menyertai juara berganda Barca dengan harga 100 juta euro (RM466 juta) hujung musim lalu namun memilih untuk kekal di Atletico, mengumumkan keputusan itu dalam satu dokumentari televisyen bertajuk ‘The Decision’.

“Saya kekal kerana saya boleh lihat mereka membina satu projek hebat di sini, saya percaya dengan kelab ini serta Simeone dan hari ini anda lihat saya tidak silap,” kata Griezmann kepada wartawan selepas kejayaan Piala Super di sini.

“Ia perlawanan pertama dan kami bekerja keras serta bersungguh-sungguh dan kami perlu terus begini kerana kami satu kelompok yang hebat.”

Griezmann beraksi kurang sejam pada aksi menentang Real hinggalah dia digantikan Angel Correa. Dia mengakui belum lagi berada di tahap kecergasan terbaik kerana baru saja kembali ke kelab selepas membantu Perancis memenangi Piala Dunia.

“Saya agak keletihan kerana ia hanya perlawanan kedua saya sejak kembali,” kata Griezmann.

Rakan serangan pemain Perancis itu, Diego Costa dipilih pemain terbaik perlawanan Piala Super selepas menyumbat dua gol pertama Atletico dan memainkan peranan penting dalam masa tambahan, yang mana jaringan Saul Niguez dan Koke menamatkan cabaran Real.

Costa berkongsi keazaman Griezmann mengenai prospek pasukan itu bagi musim baru bermula hujung minggu ini.

“Atletico terus berkembang, bukan sekadar di padang tapi juga di luar padang dan anda perlu berterima kasih kepada mereka yang mengendalikan kelab kerana membawa masuk pemain penting selain mengekalkan Griezmann,” katanya.

“Jika kami terus bekerja keras di dalam dan luar padang kami akan terus berkembang seperti enam tahun terakhir.” - Reuters

Berita Harian X