Selasa, 14 Ogos 2018 | 5:41pm
TAN Cheng Hoe - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Adunan B-23 dan B-19 tunjang skuad Piala AFF- Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Selepas memperaga aksi menakjubkan di saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kunshan, China yang menyaksikan skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara mara ke suku akhir, kini skuad sama dihimpunkan kembali untuk mengharungi temasya Sukan Asia di Indonesia bermula esok.

Malaysia akan menentang Kyrgyzstan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung selain dua lagi aksi dalam Kumpulan E membabitkan pertemuan dengan Korea Selatan (Jumaat) dan Bahrain (20 Ogos) akan dijadikan medan penilaian terbaik oleh pengendali skuad senior kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang kini dalam rangka persediaan membentuk pasukan terbaik menjelang Piala AFF November ini.

Menurut Cheng Hoe, asas pembentukan skuad Harimau Malaya sebenarnya berkisar kepada dua skuad junior iaitu B-23 dan B-19 dengan beberapa pemain senior akan melengkapkan pasukannya.

Katanya, keputusan cemerlang anak buah Bojan Hodak menjuarai Piala AFF B-19 serta dua aksi positif skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada China dan menang 2-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan bahawa kelompok pemain muda ini sudah bersedia untuk menggalas cabaran lebih besar bersama skuad utama negara selepas ini.

“Esok pagi saya akan berlepas ke Bandung bagi melihat aksi pertama pasukan menentang Kyrgyzstan dan sudah tentunya ingin menilai prestasi pemain B-23 negara.

“Kali terakhir mereka bermain pada tujuh bulan lalu di Kejohanan AFC di China dan kini pasukan sama akan bermain di Sukan Asia yang saya kira agak berbeza kerana peraturan kejohanan yang membenarkan pasukan menyenaraikan tiga pemain lebih umur.

“Sudah tentu kehadiran pemain lebih umur ini akan meningkatkan lagi tahap saingan bertaraf antarabangsa. Saya harap pemain akan meningkatkan lagi tahap persembahan mereka di sana nanti,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Cheng Hoe yang dilantik menggantikan Nelo Vingada pada Disember lalu, kini dalam misi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Piala AFF hujung tahun ini.

“Kebanyakan yang akan dipanggil untuk latihan pusat bulan depan terdiri daripada pemain B-23 dan B-19 yang memang ada perubahan dalam pasukan kebangsaan.

“Saya harap dengan adunan itu nanti, kita dapat mengesan pemain yang bersesuaian dengan corak permainan diterapkan,” katanya.

940 dibaca
Berita Harian X