Sabtu, 11 Ogos 2018 | 11:43pm
PEMAIN MU, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli (kiri) mengasak pemain PKNS FC, Bruno Oliveira De Matos pada aksi Piala Malaysia 2018 di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi. - Foto RASUL AZLI SAMAD

PKNS bangkit ikat Melaka

MELAKA: Melaka United (MU) sekadar berkongsi satu mata selepas terikat 3-3 berdepan PKNS pada aksi kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

MU mensia-siakan kelebihan 3-0 apabila kebangkitan dramatik PKNS pada lima minit terakhir menghampakan harapan kemenangan tuan rumah.

Skuad Hang Tuah membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi pemain import Korea Selatan Lee Chang Hoon yang menerima umpanan Shahrul Azwari Ibrahim.

PENYERANG PKNS FC, Safee Sali (tengah) berjaya melepasi asakan dua pemain Melaka United pada aksi Piala Malaysia 2018 di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Selebihnya pelawat lebih banyak memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan namun kecekapan penjaga gol yang juga kapten pasukan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) menghampakan setiap percubaan PKNS.

Antara deretan peluang PKNS hadir menerusi kapten pasukannya Mohd Safee Sali pada minit ke- 30 yang sedikit tersasar di atas palang gol sementara rembatan K Gurusamy seminit selepas itu dan  percubaan Mahalli Jasuli pada minit ke-34 diselamatkan penjaga gol kebangsaan terbabit.

Malah Apek terus menafikan usaha lawan menembusi gawang MU pada minit ke-37 dan m-41 menerusi Rafeal Ramazotti dan Bruno Oliveira dengan menangkap kemas dua percubaan terbabit.

Bersambung babak kedua Ifedayo Olusegun menanduk masuk gol kedua MU selepas menerima hantaran Chang Hoon pada minit ke-71, disusuli gol ketiga menerusi Chang Hoon lapan minit kemudian.

Namun PKNS bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Romel Oswaldo (m-87) Bruno Oliveira (m-88) dan Ramazotti (m-90) untuk berkongsi satu mata.

Keputusan itu membolehkan PKNS kekal mengungguli kedudukan kumpulan B selepas dua perlawanan namun bakal dicabar FELDA yang berdepan PDRM di venue sama malam esok.

Berita Harian X