Sabtu, 11 Ogos 2018 | 6:42pm
Para penyokong menunjukkan tiket yang didapati secara percuma sempena Majlis Penyampaian sumbangan tiket perlawanan Piala Sultan Selangor kepada kelab-kelab penyokong Pasukan Selangor di SACC Mall, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

3,000 tiket percuma TSSC 2018 untuk kelab penyokong

SHAH ALAM: Sebanyak 3,000 tiket percuma disumbangkan oleh penganjur Piala Sultan Selangor (TSSC) edisi ke-17 kepada 33 wakil kelab penyokong, hari ini.

Pengerusi penganjur TSSC 2018, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata tiket diberikan mengikut jumlah ahli bagi sesebuah kelab.

Katanya, sesetengah kelab mempunyai ahli yang ramai sehingga 800 orang dan ada kelab ahlinya sedikit.

Selain itu, katanya, pihaknya sudah menjual hampir 40,000 tiket dan ia adalah yang tertinggi sepanjang penganjuran TSSC.

“Kita percaya semangat dan pelbagai program menarik yang dirangka nanti membolehkan penjualan tiket terus meningkat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tiket Perlawanan TSSC 2018 di sini, petang tadi.


SHAH ALAM 11 OGOS 2018. Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (kiri) menyerahkan tiket perlawanan kepada para penyokong sempena Majlis Penyampaian sumbangan tiket perlawanan Piala Sultan Selangor kepada kelab-kelab penyokong Pasukan Selangor di SACC Mall, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (dua kanan) bersama ahli-ahli kelab penyokong melihat kereta Honda City yang dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah utama kepada para penyokong sempena Majlis Penyampaian sumbangan tiket perlawanan Piala Sultan Selangor kepada kelab-kelab penyokong Pasukan Selangor di SACC Mall, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Abd Karim berkata, hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Honda City juga menjadi faktor penjualan tiket meningkat kali ini.

Malah, katanya, pihaknya menjangkakan lebih 40,000 tiket akan terjual sebelum acara sebenar berlangsung pada 25 Ogos ini.

Beliau berkata, tumpuan terarah kepada misi Selangor bagi merebut kembali tiga piala yang terlepas ke tangan Singapura bagi kategori sekolah bawah 16 tahun, veteran dan pilihan Selangor-Singapura.

“Perlawanan bagi kategori sekolah bermula seawal jam 5.30 petang, diikuti veteran pada jam 7.50 malam dan perlawanan utama pada jam 9 malam.

“Sasaran utama kita merebut kembali ketiga-tiga piala ini dan kita berharap ribuan penyokong Selangor akan membanjiri Stadium Shah Alam bagi memberikan sokongan,” katanya.

TSSC tahun ini diadakan di Stadium Shah Alam dan bakal menyaksikan pertembungan dua musuh tradisi bola sepak tempatan, Selangor dan Singapura.

Pada edisi ke-16 di Stadium Nasional Singapura, tahun lalu, Pilihan Singapura mengetepikan Pilihan Selangor dengan keputusan 3-2.

Bagi kategori veteran, ia turut dimenangi Singapura, manakala Piala Cabaran Sekolah-Sekolah Singapura-Selangor menyaksikan tuan rumah dinobat juara menerusi kemenangan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1.

Berita Harian X