Rabu, 8 Ogos 2018 | 7:52pm
Manuel Pellegrini

Pellegrini intai keseimbangan serangan, bertahan

LONDON: Pengurus West Ham United, Manuel Pellegrini menegaskan kelab Liga Perdana Inggeris itu mesti mengukuhkan benteng pertahanan mereka terlebih dulu jika mereka mahu memenuhi falsafah corak serangannya.

Kelab London itu dibolosi 68 gol musim lalu, catatan terburuk dikongsi bersama Stoke City yang turun divisyen.

Pellegrini, yang mengambil alih jawatan pengurus kelab itu Mei lalu berkata, keutamaannya adalah untuk mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol selain keseimbangan antara serangan dan bertahan.

“Musim lalu, mereka adalah pertahanan terburuk dalam liga, jadi tahun ini kami akan cuba lebih seimbang ketika sentiasa memikirkan kami mahu menjaringkan lebih satu gol berbanding lawan,” kata Pellegrini.

Keupayaan West Ham akan diuji pada hari pertama liga menentang Liverpool di Anfield, Ahad ini.

Pasukan kendalian Juergen Klopp menyumbat 84 gol musim lalu, kedua di belakang juara Manchester City (106) dan tidak menunjukkan tanda mereka merudum ketika pramusim apabila menjaringkan 27 gol dalam sembilan perlawanan.

“Dalam Liga Perdana, anda tidak akan tahu perlawanan mana yang paling sukar,” jelas Pellegrini. - Reuters

Berita Harian X