Selasa, 7 Ogos 2018 | 1:33pm
JURGEN Klopp . - Foto AFP

Henderson tetap penting - Klopp

LONDON: Jurgen Klopp menegaskan Jordan Henderson tetap memainkan peranan penting di bahagian tengah Liverpool meskipun dengan kehadiran Fabinho dan Naby Keita.

Kapten Liverpool itu kembali menjalani latihan bersama pasukan, semalam selepas membantu England mara ke separuh akhir Piala Dunia, bulan lalu.

Sepanjang ketiadaan pemain berusia 28 tahun itu, Liverpool beraksi cemerlang ketika latihan pramusim dan terbaru menewaskan Napoli 5-0, Sabtu lalu selain menewaskan pencabar Liga Perdana, Manchester United 4-1 di Amerika Syarikat.

Selepas kehilangan Emre Can kepada Juventus, Klopp membawa masuk Fabinho dan Keita tetapi pengendali dari Jerman itu menegaskan pemain tengah England itu masih berada dalam perancangannya bagi musim 2018-19.

“Hendo amat penting bagi kami, bukan saja sebagai pemain tetapi sebagai ketua,” kata Klopp. “Kamu memerlukan pemain seperti Hendo dan Millie (James Milner) untuk mencipta semangat yang istimewa dalam pasukan, jika tidak ia takkan berhasil.

“Tiada sebarang keraguan mengenai Hendo. Saya tidak memerlukan bukti atau memerlukan Piala Dunia atau musim lalu.”

Liverpool berbelanja besar pada musim panas ini dengan membawa masuk penjaga gol, Alisson dari Roma, Xherdan Shaqiri dari Stoke City sebagai tambahan bagi Keita dan Fabinho.

“Apa yang kami cuba lakukan ketika jendela perpindahan, dan ketika yang sebelum ini juga adalah untuk menguatkan pasukan, menambah kualiti,” kata Klopp.

“Saya benar-benar menyukai pemain yang muda. Tetapi akan ada tempoh yang sukar ketika latihan yang kamu memerlukan mereka. Ia amat penting untuk kami bersedia apabila tempoh menjadi amat genting, seperti pada Januari.

“Mungkin pada Ogos atau September sebelum Liga Juara-Juara bermula, sebelum Piala Liga bermula, satu atau dua pemain mungkin merasa mereka tidak cukup bermain tetapi selepas itu kami memerlukan mereka.” - Agensi

Berita Harian X