Khamis, 2 Ogos 2018 | 2:04pm
ALISSON akan membuat penampilan sulung bersama Liverpool, Sabtu ini. - Foto Reuters

Alisson buat penampilan sulung temu Napoli

LONDON: Penjaga gol, Alisson akan membuat penampilan sulung bersama Liverpool pada perlawanan persahabatan pra-musim menentang kelab Itali Napoli, Sabtu ini.

Pemain kebangsaan Brazil itu sentiasa dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield sebelum ia dimuktamadkan pada bulan lalu yang memecah rekod dunia bagi penjaga gol termahal dari AS Roma.

Kedua-dua penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet dan Loris Karius tampil dengan prestasi tidak meyakinkan musim lalu terutama Karius yang dipersalahkan ketika The Reds tumbang 1-3 kepada Real Madrid di final Liga Juara-Juara.

Selepas menjalani latihan pasukan buat pertama kali pada penghujung minggu lalu, Klopp berkata pemain berusia 25 tahun itu sudah bersedia untuk menyarung jersi Liverpool buat pertama kali di Dublin, Ireland minggu ini.

"Sangat berkemungkinan (dia akan bermain menentang Napoli)," kata Klopp mengenai pemain yang dibelinya dengan nilai STG65 juta pound (RM346.82 juta) itu. "Kami tidak sepatutnya membuang masa.

"Sudah hampir seminggu, atau enam hari sejak dia mula berlatih, dan benar dia akan bermain.

"Saya amat gembira (untuk bekerja dengan Alisson) tetapi apa yang paling utama ialah dia boleh bermula sekarang kerana  musim ini akan bermula dalam satu setengah minggu saja lagi.

"Setiap pemain memerlukan latihan dan masa untuk mengadaptasi dengan rakan sepasukan. Kami mempunyai dua perlawanan sebelum bermula, jadi ia bagus."

Liverpool menyenaraikan Karius dalam kesebelasan utama hampir dalam kesemua perlawanan pra-musim dengan Simon Mignolet menikmati rehat Piala Dunia manakala Danny Ward dijual kepada Leicester City.

Selepas perlawanan di Dublin, Liverpool akan menantu Torino bagi aksi persahabatan terakhir pada 7 Ogos ini sebelum membuka kempen Liga Perdana di gelanggang sendiri menentang West Ham pada 12 Ogos. - Agensi

74 dibaca
Berita Harian X