Rabu, 1 Ogos 2018 | 10:50pm
PESERTA Bengkel Persediaan Liga IPT 2018/2019 bergambar kenangan di Putrajaya.

Liga IPT 2018/2019 bakal lebih sengit

PUTRAJAYA: Liga Bola Sepak Institusi Pendidikan Tinggi atau Liga IPT 2018/2019 bakal menjanjikan saingan lebih kompetitif pada musim ini yang dijadual bermula bulan depan.

Ia sejajar dengan proses transformasi sukan bola sepak yang sedang dilaksanakan oleh Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan menerusi pengambilalihan perjalanan liga berkenaan.

Kini tiada lagi larangan beraksi dihadkan kepada pemain-pemain IPT sedang mewakili mana-mana pasukan yang terbabit dalam Liga anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sama ada bagi pemain yang beraksi di Liga Super, Liga Perdana atau Piala FAM.

Sebaliknya semua IPT dibenarkan menyenarai seberapa ramai pemain yang mereka miliki untuk beraksi di Liga IPT bagi musim baharu ini.

Persetujuan ini dicapai hasil persetujuan bersama menerusi Bengkel Persediaan Liga IPT 2018/2019 yang berakhir semalam.

Bengkel turut mengundang wakil FAM serta Datuk Richard Scully yang pernah bersama dengan pasukan Universiade Malaysia di Kazan, 2014 serta beberapa bekas pemain kebangsaan untuk berkongsi pengalaman dan bagi tujuan penambahbaikan kejohanan.

Bahagian Sukan dengan kerjasama wakil-wakil IPT yang dilantik mengetuai pelbagai Jawatankuasa bersetuju untuk memastikan penganjuran Liga kali ini lebih bermutu serta dinamik dengan kerjasama pelbagai agensi.

Ini bagi memastikan persaingan yang lebih sihat dan telus di kalangan pelajar IPT dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berprestasi tinggi bagi dipilih mewakili negara di kejohanan peringkat IPT antarabangsa.

Hakikat ini diakui Ketua Sekretariat, Mohd Izwan Khairuddin.

Katanya, beberapa penambahbaikan baru penganjuran Liga IPT 2018/2019 kali ini adalah kesepakatan dan perbincangan bersama antara pasukan yang bertanding.

Ia bagi memeriahkan kembali kejohanan terutama dengan ruang dan peluang dibuka kembali tanpa sekatan kepada pemain pelajar IPT yang beraksi di Liga Malaysia'.

"Terdapat insentif baru yang turut disediakan kepada pasukan yang mempunyai pengurusan yang cekap dan teratur serta barisan kejurulatihan terbaik terutama membabitkan pegawai IPT masing-masing.

"Penggunaan sosial media menerusi laman sesawang IPT juga akan diperluaskan bagi memberikan publisiti meluas kepada kejohanan kali ini," katanya.

250 dibaca
Berita Harian X