Jumaat, 27 Julai 2018 | 12:06am
PEMAIN PKNP FC, Mohd Norhakim Isa (kanan) diasak Muhamma Syafmi Safari pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi. - Foto MUHAIZAN YAHYA

Selangor akhiri badi kekalahan

IPOH: Selangor mengutip tiga mata penuh dalam kunjungan ke Ipoh apabila menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC 2-0 dalam pertembungan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Jaringan pada setiap babak oleh Muhammad Syahmi Safari dan Mohd Amri Yahyah mencukupi buat skuad Gergasi Merah itu mengutip 24 mata sekali gus memintas PKNP FC di tangga kelapan liga.

Dalam perlawanan yang berlangsung pantas dan menarik itu, kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi pelawat terlebih dulu mengancam kubu lawan seawal minit ke-3 tetapi Rufino Segovia gagal menyempurnakan peluang diperoleh.

Seminit kemudian Fandi Ahmad berpeluang meletak tuan rumah di hadapan tetapi percubaan kencangnya diselamatkan oleh Muhammad Haziq Ridwan.

Selangor yang nyata lebih berpengalaman terus mengasak tetapi mendapati penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraf Omar sukar ditewaskan apabila menggagalkan dua percubaan Evan Dimas pada minit ke-32 dan 36.

Namun Asyraf tidak dapat menghalang Muhammad Syahmi yang menyambung hantaran Sean Eugene pada minit ke-39 untuk Selangor mendahului pada babak pertama.

Skrip sama berulang ketika babak kedua bersambung  dengan Selangor hampir menambah jaringan tetapi  percubaan Ilham Udin Armaiyn diselamatkan Ritus Krjauklis di atas garisan bola pada minit ke-58.

Begitupun Amri Yahyah membuatkan kehadirannya dirasai apabila menyumbat gol kedua Selangor selepas dua minit dimasukkan ke padang selaku pemain gantian pada minit ke-82.

Kali terakhir Selangor meraih kemenangan dalam aksi Liga Super adalah pada 6 Jun lalu dengan menewaskan pasukan 'adik' PKNS FC 2-1.

Berita Harian X