Rabu, 25 Julai 2018 | 1:25pm
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (kanan) bersalaman dengan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin yang baru dilantik pada sidang media mengenai isu perlantikan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak di Pejabat PAFA, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Abd Aziz setiausaha baharu PAFA

IPOH: Naib Presiden II Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin kini memegang dua jawatan dalam persatuan itu apabila dilantik setiausaha baharu PAFA.

Pelantikan Abd Aziz itu diumumkan Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim pada sidang akhbar di pejabat persatuan itu, pagi ini.

Aziz menggantikan bekas kapten skuad Perak, Ahmad Shahrul Azhar yang ditamatkan perkhidmatan pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, PAFA mengekalkan jawatan Ahmad Shahrul sebagai pengurus pasukan Liga Super.

Ia bertentangan dengan laporan awal bahawa semua jawatan bekas pemain kebangsaan itu turut gugur. Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri, menjelaskan jawatan sebagai setiausaha tidak mempunyai kontrak.

Malah, katanya, sebagai presiden beliau mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja menyandang jawatan itu.

"Ada peruntukan dalam perlembagaan persatuan mengenai pelantikan ini," katanya. Hasnul yang dipilih sebagai presiden baharu pada Kongres Tahunan kali ke-60 PAFA, Ahad lalu, berkata beliau telah mengadakan mesyuarat ahli majlis pertama Isnin lalu untuk membincangkan mengenai tindakan yang diambil berhubung perkara itu.

79 dibaca
Berita Harian X