Ahad, 22 Julai 2018 | 8:17pm
DOMAGOJ Vida dan Diego Godin.

Bukan Vida, tapi Godin

LONDON: Liverpool tidak sepatutnya cuba mendapatkan pertahanan Croatia, Domagoj Vida sebaliknya memburu pemain Atletico Madrid, Diego Godin kata bekas pertahanan kelab itu, Steve Nicol.

Vida, 29 yang bergandingan dengan Dejan Lovren di kubu pertahanan Croatia sepanjang Piala Dunia dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield susulan prestasi baiknya di Russia.

Turut dikaitkan dengan Everton dan West Ham, pemain Besiktas itu boleh menjadi pilihan yang tidak terlalu mahal dengan harga sekitar STG20 juta pound (RM106.71 juta) jika Jurgen Klopp mahu mendapatkan khidmatnya.

Tetapi Nicol yang menjadi antara tonggak pertahanan The Reds di era 80-an percaya Klopp harus memburu pemain lebih ternama dan memberi cadangan untuk cuba 'memancing' pertahanan veteran Uruguay Godin yang hanya mempunyai baki kontrak setahun di Sepanyol.

"Saya mungkin berkata tidak (untuk menandatangani Vida)," kata Nicol. "Jika saya boleh lakukannya ketika ini, saya akan pergi ke Atletico Madrid dan mendapatkan Godin.

"Dia masih boleh bermain beberapa musim lagi dan dia adalah pertahanan yang terbukti dapat membimbing bahagian pertahanan."

Nicol, 56 dalam pada itu turut menolak pendapat yang mengatakan perpindahan ke Liverpool satu 'penurunan pangkat' buat Godin.

"Mereka (Liverpool) mara ke final Liga Juara-Juara tahun lalu, siapa yang mara lebih jauh, Liverpool atau Atletico Madrid? Berapa banyak Atletico memenanginya? Kosong. Berapa banyak Liverpool memenanginya? Lima. 

"Justeru ia bukannya penurunan pangkat," kata Nicol yang membantu The Reds menjulang empat trofi Liga Inggeris (Liga Perdana Inggeris) dan satu trofi Piala Eropah (Liga Juara-Juara).

Liverpool setakat ini sudah melengkapkan empat pembelian termasuk mendapatkan penjaga gol Brazil, Alisson, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri. - Agensi

Berita Harian X