Jumaat, 20 Julai 2018 | 3:42pm
PASUKAN Club America.

Club America ikat United aksi sulung pra musim

LOS ANGELES: Juan Mata menyelamatkan Manchester United menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-78 untuk membantu pasukannya terikat 1-1 menentang Club America pada aksi pertama pramusim di Phoenix, Arizona, sebentar tadi.

Tandukan Henry Martin pada minit ke-59 yang gagal diselamatkan Joel Pereira membolehkan pasukan dari Mexico itu mendahului pada aksi di Stadium Universiti Phoenix.

Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengikat kedudukan ketika aksi berbaki 12 minit apabila hantaran lintang pemain muda, Tahith Chong menemui Ander Herrera namun tandukan pemain tengah itu mengenai tiang gol.

Percubaan Herrera itu melantun ke arah Mata yang kemudiannya melepaskan rembatan voli menerusi celah kaki penjaga gol gantian, Oscar Jiminez.

United turun tanpa kelibat ramai bintang yang sedang berehat selepas beraksi di Piala Dunia termasuklah Romelu Lukaku, Jesse Lingard dan Marcus Rashford.

David de Gea, Nemanja Matic dan pemain baharu, Fred dijangka menyertai pasukan minggu hadapan sementara pemain Chile, Alexis Sanchez turut akan menyertai pasukan selepas menyelesaikan isu membabitkan visanya.

"Kami tahu mereka akan memberikan saingan yang sengit kerana mereka sudah menjalani latihan seminggu lebih awal. Jadi mereka berada dalam keadaan yang lebih baik," kata Mata.

"Kelab Mexico sentiasa menjadi lawan yang sukar, mereka sering memberikan tekanan. Mereka memiliki kepantasan dan itulah yang ditunjukkan mereka pada aksi hari ini.

"Namun kami berjaya mendapatkan satu gol dan kami gembira dengan keputusan ini. Kami juga gembira kerana tiada pemain yang mengalami kecederaan."

United akan meneruskan jelajah mereka dengan menentang pasukan Liga Bolasepak Major (MLS), San Jose Earthquakes di Stadium Levis, Ahad ini.

-AFP

 

Berita Harian X