Ahad, 15 Julai 2018 | 5:02pm

Stuart Michael SU Agung FAM baharu

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Dentsu Sports Asia, Stuart Micheal Ramalingam dilantik selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Perkara itu diumumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Hamidin yang mengosongkan jawatan itu selepas menang tanpa bertanding jawatan Presiden FAM, semalam menjelaskan pelantikan Stuart dibuat berdasarkan Artikel 61 Perenggan 1 dalam Statut FAM yang menyatakan bahawa jawatan berkenaan hendaklah dilantik oleh presiden.

"Stuart menjadi pilihan untuk memegang jawatan ini berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dimilikinya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Berdasarkan pengalaman beliau di FIFA, AFC dan FAM serta empat tahun dalam dunia korporat dan agensi sukan terbesar di dunia, Stuart calon paling sesuai untuk menjadi Setiausaha Agung FAM dan diyakini mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada FAM.

"Selaku Presiden FAM, saya amat berharap agar beliau dapat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara," kata Hamidin.

Sebelum menyertai Dentsu Sports Asia, Stuart, 41, dilantik oleh FIFA sebagai 'Konsultan Profesionalisasi' pada 2008 yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga baharu.

Bidang tugasnya itu turut membabitkan mengemaskini pentadbiran persatuan ahli gabungan serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).

Selepas empat tahun, Stuart kemudian dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Liga Super Malaysia (MSL) pada 2010 dan diberi mandat untuk merencanakan struktur FAM serta juga aspek komersial persatuan berkenaan.

Pada 2012, Stuart menyertai AFC dan memegang pelbagai jawatan pengarah di sana termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC termasuklah Liga Juara Juara Asia (ACL), Piala AFC, Kejohanan Futsal AFC, Pengarah Pemasaran dan Pengarah Tanggungjawab Sosial.

Selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak, Stuart kemudiannya menjadi konsultan kepada dua agensi sukan terbesar di dunia, Dentsu Sports dan IMG pada 2014.

Di Dentsu Sports, Stuart dilantik menduduki jawatan naib presiden selama empat tahun sehingga tahun 2018 dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Biodata

Nama: Stuart Michael Ramalingam

Umur: 41

Tarikh Lahir: 12 Jun 1977

Isteri: Thevi Kulendran

Tempat Lahir: Petaling Jaya, Selangor

Jawatan Terdahulu: Konsultan Profesionalisasi FIFA 2008

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Super Malaysia (MSL) 2010

Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC, 2012

Konsultan Dentsu Sports dan IMG, 2014

Naib presiden Dentsu Sports, 2014-2018 

Berita Harian X