Sabtu, 14 Julai 2018 | 4:43pm
Bekas Presiden FAM, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia kali ke 54 di Hotel Hilton. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ada orang buat 'kepala' dalam NFDP

PETALING JAYA: Segelintir individu terbabit dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dilihat cuba untuk menguruskan program terbabit mengikut 'kepala sendiri'.

 Situasi itu diakui bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyebabkan tiadanya kerjasama baik antara NFDP dengan badan induk itu sekali gus menyebabkan perancangan untuk pembangunan akar umbi akhirnya terbantut.

 "Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak memainkan peranan dalam memastikan kerjasama yang sepatutnya antara FAM dan juga NFDP.

 "Kita ada Pengarah Teknikal, Peter de Roo tetapi dia tidak diberikan banyak akses dan juga kerjasama kerana ramai yang berada dalam NFDP cuba menguruskan program itu seperti milik persendirian. Jadi kita hanya boleh memberi pandangan dan juga nasihat.

 "Malah, maklum balas mereka juga agak negatif pada masa itu. Beberapa individu dalam NFDP tidak memberi sokongan sepenuhnya dan mereka juga mempunyai masalah dengan persatuan bola sepak negeri contohnya tidak menyediakan kemudahan kepada pihak terbabit untuk menjalankan tugas," katanya pada sidang media selepas Kongres FAM ke-54, di sini, hari ini.

 Kongres FAM ke-54 menyaksikan Hamidin yang juga bekas Setiausaha Agung FAM itu sah dilantik menduduki 'kerusi panas' persatuan itu bagi baki penggal 2017-2021 selepas menang tanpa bertanding.

 Justeru, Tunku Ismail yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu mengharapkan FAM yang kini diterajui presiden baharu dapat menjalin kerjasama baik dengan NFDP memandangkan dua badan ini berkongsi agenda sama demi bola sepak negara.

 "Saya mengharapkan presiden baharu FAM akan bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan yang baharu (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) serta memastikan ada sikap kerjasama serta saling menghormati antara satu sama lain dalam FAM mahupun NFDP.

 "Tanpa mengira dari organisasi mana kita datang, agenda di sini sememangnya jelas iaitu untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan dalam bola sepak tanah air.

 "Di sini, FAM, NFDP, KBS dan juga semua persatuan bola sepak harus beri sokongan penuh untuk memastikan agenda dan misi kita dapat diterapkan. Kalau kita asyik berkelahi sampai bila bila pun tak kemana," katanya.

Berita Harian X