Jumaat, 13 Julai 2018 | 12:10pm
JURGEN Klopp dan Dejan Lovren.

Klopp bangga prestasi Lovren

LONDON: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menghambur pujian terhadap pertahanan tengahnya, Dejan Lovren yang memainkan peranan penting kemaraan Croatia ke final Piala Dunia 2018.

Pujian Klopp hadir selepas Lovren mengatakan bersandarkan prestasi semasa, termasuk ketika membantu The Reds mara ke final Liga Juara-Juara, orang ramai sepatutnya sudah menilainya sebagai salah seorang pertahanan terbaik di dunia.

Lovren sering dilabel pengkritik sebagai pemain yang sering melakukan kesilapan tetapi Klopp merasakan penilaian itu tidak relevan.

"Orang sering menghakimi orang lain terlalu awal. Sejak saya tiba di sini, mungkin Dejan melakukan tiga atau empat kesilapan, dua daripadanya dalam perlawanan dengan Tottenham tetapi saya yakin bukan 15 atau 20," kata Klopp.

"90 peratus permainannya adalah menakjubkan, 95 peratus OK, dan lima peratus lagi mungkin dia tidak berada di prestasi terbaiknya. Tetapi kamu akan mendapati masalah ini turut membelenggu semua pemain di dunia.

"Dia mengharungi kejohanan yang menakjubkan setakat ini. Saya amat gembira untuknya. Negaranya adalah kecil tetapi kesemua pemain mereka besar. Apa yang mereka lakukan cukup hebat."

Selepas menyingkirkan England di separuh akhir, Croatia yang terpaksa melengkapkan tiga perlawanan dengan tambahan masa termasuk dua penentuan penalti bertemu pasukan pilihan, Perancis di final, Ahad ini. - Agensi

Berita Harian X