Rabu, 11 Julai 2018 | 2:17pm
JURULATIH Croatia, Zlatko Dalic (kiri) melihat pemainnya menjalani latihan di Moscow, Russia. - Foto EPA

Croatia sudah lama antara terbaik dunia

MOSCOW: Sesetengah pihak mungkin terkejut dengan pencapaian Croatia ke separuh akhir.

Namun jurulatih Zlatko Dalic berkata pemainnya sudah lama menjadi antara terbaik dunia dan sudah bersedia dilabelkan generasi emas apabila menentang England, awal pagi esok, waktu Malaysia.

Pencapaian terbaik Croatia di Piala Dunia adalah pada 20 tahun lalu, iaitu 1998 apabila tewas di separuh akhir kepada Perancis yang kemudiannya muncul juara. 

Pada edisi 2002, 2006 dan 2014 mereka tersingkir di peringkat kumpulan dan mereka tidak layak untuk mara ke edisi 2010.

"Croatia mempunyai pemain yang beraksi dk kelab hebat, namun adalah benar kami tidak mempunyai keputusan yang baik di kejohanan utama selama berdekad," kata jurulatih itu.

Pemainnya bersama kelab elit Eropah seperti Luka Modric dan Mateo Kovacic di Real Madrid, Ivan Rakitic (Barcelona), penyerang Mario Mandzukic bersama juara Itali, Juventus dan Dejan Lovren di Liverpool

"Keputusan adalah di bawah tahap dan kualiti pemain kami. Kadang-kala perlu pertukaran untuk mendapat keputusan," kata Dalic.

"Jadi, kita tidak seharusnya terkejut Croatia ke separuh akhir berdasarkan kualiti pemain dimiliki."

"Generasi ini sudah lama di pandang sepi kerana keputusan  buruk namun mereka sudah mempamerkan kualiti di Piala Dunia dan bakal menjadi generasi emas seperti 1998.

Dalic berjaya melonjakkan aksi terbaik pemainnya apabila melepasi peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan termasuk menewaskan Argentina.

Mereka turut menyingkirkan Denmark dan tuan rumah, Russia menerusi penentuan penalti untuk ke separuh akhir. - Reuters

Berita Harian X