Isnin, 9 Julai 2018 | 2:05pm
PERTAHANAN Liverpool, Virgil van Dijk

Van Dijk yakin Liverpool melonjak musim baharu

LONDON: Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk yakin pasukannya akan melonjak ke satu tahap lebih baik pada kempen baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kelab itu hampir menamatkan kemarau trofi mereka, musim lalu.

Kejayaan terakhir kelab Merseyside itu adalah Piala Liga pada 2012.

Meskipun menunjukkan peningkatan di bawah Juergen Klopp, pengurus dari Jerman berkenaan bagaimanapun menyaksikan tiga kekalahan di pentas final sejak mula menyertai kelab pada 2015.

"Kami akan berusaha dan melakukan segala-galanya untuk menjadikannya satu kenyataan musim ini. Kami sangat hampir untuk meraih trofi namun ia tidaklah begitu dekat," kata pemain kebangsaan Belanda, Van Dijk dalam laman rasmi Liverpool.

"Saya boleh menunjukkan peningkatan dalam semua aspek permainan. Pada masa ini, ia sedang menghampiri kecergasan penuh, saya perlu memastikan untuk lebih baik dan kuat berbanding sebelumnya.

"Saya akan berusaha setiap hari dan melakukan yang termampu dan tanpa ragu, ia akan berlaku sekali lagi."

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan 22 penampilan bersama Liverpool selepas menyertainya pada Januari, membantu kelab menamatkan liga di tangga keempat dan melangkah mara ke final Liga Juara-Juara - pentas yang menyaksikan mereka tewas 3-1 di tangan Real Madrid, Mei lalu.

Van Dijk terlepas perlawanan persahabatan pra musim yang pertama pada Sabtu apabila barisan pemain Klopp meraih kemenangan 7-0 ke atas pasukan bukan liga, Chester.

Mereka dijadual mempunyai beberapa lagi perlawanan sebelum musim baharu EPL membuka tirainya, bulan depan.

- Reuters

 

 

24 dibaca
Berita Harian X