Ahad, 8 Julai 2018 | 5:57pm
DAVID Beckham dan Zlatan Ibrahimovic. - Foto Reuters

Beckham tuntut 'hadiah' Ibrahimovic

LOS ANGELES: David Beckham sudah bersedia menuntut hadiah kemenangan pertaruhan terhadap Zlatan Ibrahimovic, dengan bekas bintang tengah England itu dikatakan berhajat ke Wembley bagi merasai 'fish and chips'.

Kedua-dua bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu bersetuju membuat pertaruhan menjelang pertembungan suku akhir antara England dan Sweden, semalam.

Ibrahimovic, penjaring terbanyak sepanjang zaman Sweden dengan 62 gol, mencetuskan idea itu apabila begitu menginginkan pasukan negaranya menumbangkan The Three Lions.

Malah dia sanggup bertaruh dengan Beckham untuk membawanya makan malam di mana saja yang diimpikannya sekiranya kapten England itu tewas dalam pertaruhan terbabit.

Beckham membalas cabaran itu dengan berjanji membenarkan Ibrahimovic memilih apa saja barang daripada Ikea, pengendali pusat beli belah barangan kelengkapan rumah sekiranya England tumbang.

Namun, pada akhirnya kemenangan mutlak menjadi milik skuad kendalian Gareth Southgate, dengan Harry Maguire dan Dele Alli memastikan Three Lions menang 2-0.

Dengan aksi kini mula tertumpu ke saingan separuh akhir, Beckham sudah boleh mengemas beg ke London bersama Ibrahimovic bagi menuntut hadiah kemenangan.

Dia menegaskan penyerang berusia 36 tahun itu perlu menyaksikan perlawanan England di Wembley sambil memakai jersi Three Lions dan menikmati 'fish & chips' pada rehat babak pertama.

Ibrahimovic bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang komen mengenai pertaruhan itu, tetapi sebaliknya dia menghamburkan pujian ke atas pemain Sweden yang berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia.

"Seluruh barisan pemain Sweden perlu dianugerahkan bola emas," kata petikan Twitter miliknya, "Apa yang dilakukan mereka akan diingati sampai bila-bila. Terima kasih untuk persembahan menakjubkan ini." - Agensi

Berita Harian X