Ahad, 8 Julai 2018 | 2:15pm
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (kanan) menyampaikan piala pemain terbaik kepada Mohamadou Sumareh (dua kiri) pada Final Shopee Piala FA 2018 di Stadium Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ini untuk penyokong Tok Gajah: Sumareh

BUKIT JALIL: Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA, Mohamadou Sumareh mendedikasikan kejayaan Pahang menjulang Piala FA kepada seluruh penyokong Tok Gajah kerana kekal setia dengan pasukan tanpa mengira menang atau pun kalah.

Pemain kelahiran Gambia itu beraksi bagaikan 'lipas kudung' buat Pahang untuk tampil selaku watak utama kepada pasukannya untuk menewaskan Selangor 2-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Sambil mengakui beraksi dalam keadaan rasa sakit, Sumareh berkata penyokong adalah motivasi utamanya untuk terus memberikan yang terbaik buat pasukan.

"Penyokong adalah segalanya. Merekalah motivasi saya kerana terus menyokong saya dalam apa juga situasi, menang ataupun kalah dan saya cukup menghargai mereka.

"Saya menantikan detik ini dan akhirnya kami berjaya," katanya.

Pada aksi semalam, pengalaman nyata jadi pemisah buat kedua-dua pasukan dan dua gol Pahang dihasilkan oleh Nor Azam Azih pada minit ke-22 diikuti jaringan Patrick Cruz menerusi sepakan penalti, minit ke-62.

Malah Sumareh juga menyifatkan kejayaan semalam sebagai detik permulaan buatnya dan pasukan untuk terus mengimpikan lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang.

"Saya gembira dengan rakan sepasukan dan seluruh kakitangan pasukan atas segala kerja keras yang dilakukan sehingga menghasilkan kejayaan ini.

"Saya anggap ini sebagai permulaan dan harap dapat memberi lebih baik lagi pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X