Ahad, 8 Julai 2018 | 2:19am
PERTAHANAN Perancis, Raphael Varane. - Foto Reuters

Varane waspada gandingan Lukaku, Hazard

ST PETERSBURG: Sehari selepas menjaringkan gol pertamanya di Piala Dunia, pertahanan Perancis Raphael Varane menegaskan pasukannya perlu menyekat serangan bertali arus Belgium apabila bertemu lawan itu di pentas separuh akhir Piala Dunia 2018 di St Petersburg, Selasa ini.

Varane, yang berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Antoine Griezmann untuk gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Uruguay di peringkat suku akhir semalam berkata, dia gembira dengan kematangan dan kemajuan ditunjukkan oleh barisan pemain muda Perancis sekarang.

"Saya amat gembira kerana berjaya menjaringkan gol dan ia amat menyenangkan. Kami menghadapi permainan penuh dengan cabaran fizikal dan berjaya melaluinya," kata pemain pertahanan tengah, Real Madrid itu.

"Pengalaman bermain dalam pertandingan besar ini penting bagi membantu kami mengelak melakukan kesilapan kecil. Kami mempunyai pasukan yang agak muda dan mereka menunjukkan banyak kemajuan dan kematangan sejak kejohanan bermula.

"Kami perlu memperkukuhkan benteng pertahanan dan sentiasa mampu menyesuaikan diri dengan kekuatan lawan."

Dengan Belgium menunjukkan corak permainan menyerang ketika menewaskan Brazil 2-1 di peringkat suku akhir, Varane menegaskan mereka perlu berwaspada dan mengawal pergerakan tonggak utama Belgium - Romelu Lukaku dan Eden Hazard.

"Ini adalah perlawanan separuh akhir Piala Dunia... Jadi tiada pasukan mempunyai kelebihan biarpun diletakkan sebagai pilihan.

"Belgium adalah pasukan muda namun kami semakin menunjukkan kematangan. Kami tahu perlawanan itu memang sengit. Romelu Lukaku boleh memberikan masalah kepada mana-mana pemain pertahanan. Jadi kami tidak boleh membuka ruang kepada Lukaku kerana beliau adalah pemain berkualiti.

"Saya juga tahu corak permainan Eden kerana pernah bermain menentangnya ketika mewakili Lille. Dia adalah pemain berkualiti dan mempunyai kemahiran menggelecek yang baik. Jadi kami tidak boleh memberi ruang kepadanya dan perlu mengawal mereka," katanya. - REUTERS

Berita Harian X