Jumaat, 6 Julai 2018 | 7:27pm
PASUKAN Sweden ketika latihan. - Foto AFP

Sweden mampu aibkan England

SOCHI (Russia): Sweden mampu menewaskan England dalam pertembungan suku akhir esok seterusnya menjulang Piala Dunia seandainya mereka boleh menangani tekanan, kata bekas kapten dan pemegang rekod penjaring terbanyak negara itu, Zlatan Ibrahimovic.

Bercakap kepada pemberita di pangkalan latihan LA Galaxy di Los Angeles, pemain berusia 36 tahun itu yang bersara dari arena antarabangsa selepas Euro 2016 berkata, saingan semakin sengit di peringkat kalah mati.

"Sekarang ini bukan hanya soal betapa bagusnya anda tapi ia membabit banyak perkara kerana ia sudah sampai ke peringkat suku akhir. Pasukan yang boleh mengawal perasaan mereka dengan baik akan memiliki kelebihan," katanya.

"Ya, saya fikir Sweden boleh menjadi juara, seperti yang saya katakan sebelum Piala Dunia bermula. Mereka menewaskan Mexico, satu pasukan terkuat dan kemudiannya mengalahkan Switzerland, mereka sudah berjaya dan tiada sesiapa yang menjangkakan mereka mampu lakukannya," katanya.

Ibrahimovic meledakkan 62 gol sepanjang 116 perlawanan untuk negaranya dan sebelum ini menjadi perdebatan hangat sama ada perlu atau tidak Janne Andersson membawanya kembali ke dalam skuad kebangsaan ke Russia dan akhirnya Sweden membuktikan mereka mampu melakukan tanpanya.

"Sekarang adalah mengenai England pada Sabtu ini dan kami semua akan memberi sokongan penuh di belakang mereka. Semua rakyat Sweden di seluruh dunia berbangga dengan skuad kebangsaan dan akan tetap berbangga tidak kira apa yang berlaku pada aksi berkenaan," kata Ibra.

Ibrahimovic yang meledak jaringan menarik ketika bertemu England pada perlawanan pertama di Friends Arena di Stockholm pada 2012 adalah pemain berprofil tinggi yang turut beraksi bersama LA Galaxy.

"Saya adalah rakyat Sweden dan saya percaya kemampuan Sweden apabila turun bertemu England, jadi kita lihat apa yang akan David Beckham katakan apabila saya bercakap dengannya," katanya. -Reuters

 

 

Berita Harian X