Jumaat, 6 Julai 2018 | 7:52am
GARETH Southgate. - Foto Reuters

Peluang terbaik England: Southgate

REPINO, Russia: Gareth Southgate menggesa England memanfaatkan peluang terbaik mereka di Piala Dunia bermula dengan aksi suku akhir menentang pasukan berpengalaman, Sweden.

Perlawanan di Samara adalah suku akhir pertama untuk England sejak 2006.

Kemenangan akan membolehkan mereka bertemu Russia atau Croatia.

"Ia adalah peluang yang hebat dan secara individu pasukan kami lebih baik berbanding dua tahun lalu tetapi kami mungkin tidak akan mempunyai peluang seperti ini lagi," katanya.

England menewaskan Colombia menerusi penalti di pusingan kedua untuk melakar kemenangan pertama peringkat kalah mati di kejohanan utama sejak 2006 selain kemenangan kedua penentuan sepakan penalti selepas lapan kali.

Kemenangan mengatasi Sweden akan membolehkan England mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1990.

Bagaimanapun, Sweden mempamerkan persembahan memberangsangkan sejak 12 bulan lalu dengan mengatasi Belanda dalam aksi kelayakan, menyingkirkan Itali dalam aksi play-off serta menamatkan saingan peringkat kumpulan di Russia mengatasi juara bertahan, Jerman.

"Kami menghormati Sweden. Mereka sebuah pasukan yang dipandang rendah sebelum ini. Kami tidak akan melakukan kesilapan itu," tambahnya.

"Latar belakang pemain kami sama seperti mereka. Kami tidak boleh terbawa-bawa dengan mengatakan lebih baik berbanding lawan. Mereka lebih berusia, berpengalaman dan rekod lebih baik berbanding kami."

England hanya sekali menewaskan Sweden dalam 15 pertemuan termasuk seri Piala Dunia 2002 dan 2006.

Pertemuan terakhir adalah aksi persahabatan pada November 2012 dengan Zlatan Ibrahimovic meledak empat gol menewaskan England 4-2 di Stockholm.

"Anda perlu menikmati setiap saat namun masih jauh untuk sempurna, masih banyak kesilapan yang kami lakukan dan perlu diperbaiki. Jadi saya fikir adalah berbahaya kami terbawa-bawa dengan sesuatu perkara," katanya.

Southgate mendapat pujian terhadap keharmonian yang diciptanya dalam kem serta persediaan rapi setiap perlawanan.

"Kuncinya adalah melakukan tugas dengan sebaik mungkin dan saya bangga dengan corak permainan pasukan," tambahnya. -Agensi

Berita Harian X