Ahad, 1 Julai 2018 | 11:51pm
MESSI (kiri) antara pemain terbaik dunia pada abad ke-21 namun dia masih belum memenangi sebarang kejuaraan bersama Argentina. - Foto EPA

Argentina semakin malap

SOCHI, Russia: Tajuk akhbar di Argentina dikuasai oleh teka-teki Lionel Messi, kesilapan taktikal dan keterujaan Diego Maradona namun semuanya sudah menjadi sejarah selepas juara Piala Dunia dua kali itu disingkirkan oleh Perancis.

Argentina tidak pernah memenangi kejuaraan utama antarabangsa selepas muncul juara Copa America 1993 dan paling hampir mereka untuk menamatkan kemarau adalah pada 2014 apabila mereka kalah pada perlawanan akhir Piala Dunia serta naib juara Copa America 2015 dan 2016.

Kekalahan 3-4 di tangan Perancis semalam dapat dilihat dari segi kepantasan, tonggak muda, kemahiran dan bakat yang dimiliki pasukan lawan.

Argentina pula dibarisi pemain yang sudah menjangkau usia 30-an termasuk Javier Mascherano, Sergio Aguero, Gonzalo Higuain, Ever Banega, Nicolas Otamendi, Gabriel Mercado, Enzo Perez, Angel Di Maria dan Messi sendiri.

Mascherano mengumumkan persaraan selepas perlawanan itu dan ia menjadi tanda tanya buat rakan sepasukannya, sama ada untuk meneruskan perjuangan selepas mendapat tekanan peminat.

Satu persoalan mengenai Messi adalah mengenai persaraan di peringkat antarabangsa oleh bintang Barcelona itu selepas sebelum ini pernah mengumumkannya pada 2016 namun menukar kembali pendiriannya.

Messi antara pemain terbaik dunia pada abad ke-21 namun dia masih belum memenangi sebarang kejuaraan bersama Argentina, selepas beraksi di pentas akhir sebanyak empat kali bermula di Copa America 2007.

Ia tiada kena mengena dengan kemahiran luar biasa yang dimilikinya tapi kekerapan kegagalan Argentina di pentas akhir amat ketara.

Tumpas sekali di final mungkin disebabkan faktor kurang bernasib baik namun tiga kali dalam tempoh empat tahun ia agak membingungkan.

Argentina tidak dilihat sebagai pencabar untuk edisi kali ini selepas mereka seri 1-1 dengan Iceland dalam perlawanan pembukaan, tumpas di tangan Croatia 0-3 dan memerlukan gol saat akhir melalui pertahanan, Marcos Rojo untuk mencari slot ke pusingan kedua. - Reuters

Berita Harian X