Ahad, 1 Julai 2018 | 11:00pm
ANTOINE Griezmann - Foto AFP

Saya tetap anak Perancis: Griezmann

ISTRA, Russia: Aksi suku akhir Piala Dunia bertemu Uruguay Jumaat ini disifatkan sebagai 'hal keluarga' oleh penyerang Perancis, Antoine Griezmann yang memiliki hubungan rapat dengan negara Amerika Selatan itu selepas 13 tahun berada di Sepanyol.

Penyerang Atletico Madrid itu memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan remaja Real Sociedad pada 2005 dan menyertai pasukan utama pada 2009 sebelum menyertai Atletico pada 2014.

Di dua kelab itu, dia memiliki hubungan rapat dengan pemain Uruguay, Carlos Bueno di Real Sociedad dan Diego Godin yang juga bapa pembaptisan anak perempuannya di Atletico.

"Godin adalah kawan yang hebat dan saya sering menghabiskan masa bersamanya. Ia perlawanan yang penuh beremosi buat saya."

Di Real Sociedad, jurulatih dari Uruguay, Martin Lasarte mengenal pasti bakatnya dan terus meletakkannya dalam pasukan utama untuk bergandingan dengan Bueno.

Bueno yang 11 tahun lebih tua daripada Griezmann memberi tunjuk ajar kepada penyerang muda itu dan membentuk gandingan mantap yang berjaya memberi cabaran di liga elit Sepanyol itu.

"Dia begitu mengambil berat dan menjaga saya serta turut mengajar saya cara untuk minum 'mate'," katanya yang sering kelihatan memegang balang berisi teh pahit yang digemari warga Argentina dan Uruguay.

Hubungan itu berterusan di Atletico apabila jurulatih kecergasannya, Oscar 'Si Profesor' Ortega juga dari Uruguay dan dia bertemu beberapa lagi pemain Uruguay seperti Godin, Jose Gimenez dan Cristian Rodriguez.

Ketika Uruguay mengesahkan tempat ke Piala Dunia Oktober lalu, Griezmann menyarung jersi Uruguay dan menuju ke lapangan terbang Madrid untuk menyambut ketibaan dua pertahanan pasukan itu.

Dia turut menyatakan sokongan kepada Uruguay dalam media sosial setiap kali pasukan itu beraksi selain turut dilantik sebagai ahli kehormat di kelab terbesar di Uruguay, Penarol, kelab Rodriguez beraksi.

Persahabatan itu bagaimanapun perlu dilupakan apabila Perancis berdepan Uruguay untuk merebut tiket ke separuh akhir.

"Gimenez dan Godin tahu segala-galanya mengenai saya dan saya juga tahu setiap perkara mengenai mereka." - Reuters

Berita Harian X