Sabtu, 30 Jun 2018 | 1:58pm
DOLLAH Salleh

Tiga tonggak kembali kuatkan Tok Gajah

KUANTAN: Dollah Salleh percaya skuad Pahang mampu meraih tiket final Piala FA apabila bertemu PKNP FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam esok. 

Pengendali Tok Gajah itu menegaskan, kelebihan yang dimiliki kelab dari Perak itu selepas seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Kuantan, 23 Jun lalu, langsung tidak melunturkan semangat pemainnya. 

"Saya percaya prestasi lebih baik akan dipersembahkan Pahang untuk mengecewakan tuan rumah yang pasti akan mengukuhkan kubu mereka daripada dibolosi. 

"Bagi saya, aksi separuh akhir kedua berbeza kerana tiga pemain utama kembali bersama pasukan selepas terlepas beraksi kerana penggantungan perlawanan. 

"Kehadiran Matthew Davies, Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih akan memantapkan lagi jentera tengah pasukan untuk membantu skuad ini layak ke final," katanya. 

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan masih mengharapkan dua pemain import Pahang, Patrick Cruz dan Mohamadou Sumareh dapat disenaraikan walaupun masih belum mencapai prestasi terbaik disebabkan kecederaan. 

Jika Cruz dan Sumareh dapat beraksi, sudah pasti kehadiran mereka akan menambah bisa di bahagian serangan Tok Gajah selepas gagal menyerlah dalam dua perlawanan lalu. 

"Kita dapat lihat pada aksi Liga Super bertemu Selangor Selasa lalu, jentera serangan begitu tumpul yang memerlukan pemain bekerja keras untuk menambah ketajaman di bahagian serangan," katanya. 

Musim lalu, skuad Tok Gajah layak ke final tetapi kecewa apabila tewas 2-3 kepada Kedah.

366 dibaca
Berita Harian X