Khamis, 28 Jun 2018 | 8:37am
LIONEL Messi. - Foto Reuters

Messi ancaman utama

ISTRA: Nama Lionel Messi terus meniti di bibir pemain dalam kem Perancis menjelang pertemuan Les Bleus dan Argentina pada pusingan kedua Piala Dunia, Sabtu ini.

Perancis layak dengan bergaya apabila muncul juara Kumpulan C sementara Argentina agak bergelut untuk mara dan sekadar muncul naib juara Kumpulan D.

Bagaimanapun, Messi adalah pemain yang mampu mengubah nasib Argentina dan ia diakui barisan pemain Les Bleus.

Perkara itu sering ditanya kepada penjaga gol simpanan, Steve Mandanda dan pertahanan, Presnel Kimpembe pada sidang media.

"Kami semua tahu dia adalah seorang pemain yang dapat melakukan perubahan. Dia boleh melakukan segala-galanya," katanya.

Kimpembe yang juga pemain pertahanan Paris St Germain (PSG), masih mengingati aksi Messi ketika saingan Liga Juara-Juara tahun lalu.

"Ia adalah aksi pertama saya di Liga Juara-Juara tetapi saya tak dapat melakukan yang terbaik.

"Messi adalah seorang pemain terbaik di dunia. Saya tak fikir sesiapapun di dalam planet ini mempunyai jalan penyelesaian untuk menghentikannya.

"Cara paling terbaik adalah untuk bekerjasama sebagai satu pasukan," kata Kimpembe yang mengakui bukan Messi saja pemain berkualiti yang dimiliki Argentina.

"Kami tidak boleh beri tumpuan kepada Messi saja kerana ada lagi beberapa nama besar di dalam pasukan. Ia pasti satu tugas sangat sukar," tambahnya. - Reuters

Berita Harian X