Khamis, 28 Jun 2018 | 12:10am
PENYERANG TFC , Kipre Tchetche (tengah) diasak oleh pemain Negeri Sembilan, Mohd Nasriq Baharom (kanan) pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto ROZAINAH ZAKARIA

Hatrik Tchetche julang Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche muncul wira apabila meledak hatrik untuk membantu pasukannya menang 3-2 menundukkan Negeri Sembilan

dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Pemain yang digelar 'Drogba Terengganu' itu kini muncul penjaring kedua terbanyak liga dengan meledak 13 gol.

Terdahulu, skuad Terengganu bermula garang dengan asakan pertama melalui rembatan J Partiban dalam kotak penalti pada minit kelapan perlawanan namun mudah dibaca penjaga gol pelawat, Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Tiga minit berselang, giliran pemain sayap, Muhammad Haidhir Suhaini melakukan percubaan hasil serangan balas tapi sekali lagi penjaga gol lawan itu bijak membaca rembatan pemain yang diserap masuk daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II) itu.

Skuad TFC yang bagaikan 'harimau luka' terus mengatur gerakan untuk memburu gol pendahuluan menerusi  Tchetche dan pemain import baharu dari Korea Selatan, Do Dong Hyun, namun masih buntu memecah kebuntuan gol.

Percubaan bertali arus skuad tuan rumah akhirnya berhasil apabila Tchetche bijak mengambil peluang hasil kesilapan pertahanan pelawat yang menolak bola ke belakang untuk  meledak jaringan pertama pada minit ke-31.

Tersentak jaringan itu, skuad bimbingan Mario Lemos yang sebelum itu bagaikan 'terlena' bangkit untuk memburu gol penyamaan menerusi percubaan Muhamad Fakrul Aiman Sidiq pada minit ke-35 yang sedikit melambung tinggi.

Pada minit ke-43 skuad Hobin Jang Hobin itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Nicolas Velez dari dalam kotak penalti hasil kealpaan pertahanan tuan rumah.

Dua minit berselang, pemain itu sekali lagi menghukum kealpaan benteng TFC apabila mudah menanduk masuk gol kedua peribadi dan pasukan hasil sepakan penjuru Flavio Junior.

Bersambung babak kedua pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim mengubah strategi dengan memasukkan penyerang, Muhamad Ashari Samsudin menggantikan Dong Hyun.

Hasilnya pada minit ke-56 skuad Penyu berjaya menyamakan kedudukan 2-2 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Tchetche selepas bola terkena tangan Mohd Fakrul Aiman.

Sepuluh minit berselang, pemain kelahiran Ivory Coast itu sekali lagi menceriakan peminat setia skuad Penyu apabila melakukan sepakan gunting untuk meletak pasukannya di depan 3-2 hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X